Showing posts with label Sajak Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Sajak Bahasa Melayu. Show all posts

Monday, April 4, 2016

Persinggahan Cinta


cinta adalah persinggahan
menunggu waktu gugur
kemudian hanyut

semasa tinggi, dibelai angin
dipeluk sayap sang burung
maka cinta pada dunia pun
membuka redup tiga gerbang mesosfera

akan tetapi tetap luruh juga
kerana setiap yang tergantung itu
akan gugur
itu hakikat

umy hafiza

Friday, October 31, 2014

Cumalah Sehelai Rumput, Itu Sahaja



kita cumalah sehelai rumput
di padang dunia

kita berbeza kapisiti warna
berlainan saiz dan panjang
tidak sama tempat menumbuh
berbeda kedudukan mengakar dan memucuk

tetap kita cumalah sehelai rumput
diterik mentari kita kering
dibasah hujan kita lembab

semasa memucuk kita menghijau
dikunyah waktu menunggu kuning
dan reput

lalu apalagi
kita cumalah sehelai rumput
itu sahaja

ummy hafiza
saratok

Sunday, October 26, 2014

Peringatan



burung-burung pulang ke sarang
langit pun merekah merah
angin tergores oleh hembusan nafas manusia
malam pun duduk di zat-zat waktu
flora-flora umur pun gugur
dan membilang dengan sendirinya
esok lusa, kita pula yang pulang

umy hafiza
saratok

Monday, March 24, 2014

MH370 IV


camar terbang terkorban di lautan
ada darah senyap mengalir warnanya biru
kerana tinta Allah itu lebih luas dan tepu
tidak merah walau tumpahnya seratus benua

tiada lagi airmata menakung di langit
sudah kering kerana 17 hari bumi gerimis
lalu tidak berhujan walaupun monsun sekencang sebak
kerana debar sudah ditelan gelombang March

dari jauh kutaburkan bunga aksara
walau tidak seindah kelopak phytoplankton
di tempat semadimu
barangkali daratan ini terlalu kasar
dan bingung bentuk muka buminya
mungkin lautan lebih sejuk dan nyaman
bagi yang memiliki mutiara seindah iman

umy hafiza
saratok

Tuesday, March 11, 2014

MH370 Bahagian II

kemana hilangnya
merpati putih bersayap logam
sarat membawa harapan
bayi yang lapar susu
dan Abu dan Ali yang perlukan pensil 2B
untuk melakar matahari di langit

janganlah pulang bawa berita kematian
kerana air mata yang selautan
masinnya begitu diteguk semakin haus
samudera kah yang meliputi
awan gemawankah yang menyelubungi
gunungkah yang menutupi

pulanglah
demi bayi yang lapar susu
dan demi Abu dan Ali yang perlukan pensil 2B
untuk melakar matahari dan pelangi
di langit

umy hafiza
saratok

Saturday, March 8, 2014

MH370

MH370 

burung terbang hilang di langit
di celah bulan sabit ada sekeping duit 10 sen
dan bintang yang bertaburan laksana gula pasir

dan lalang di lereng bukit
manakan akan tahu
malahan pine di puncak gunung pun
tidakkan tahu

burung yang terbang
hinggapnya di mana
kalau tanyakan pada pelangi
yang berwarna terang
melengkung gagah seperti paru-paru rasaksa
pun tidakkan tahu

kerana dunia ini 

sekecil kanta yang di atas google chrome bar
ada waktunya yang Maha tahu
memberi pelajaran kepada pasir dan kelikir 

yang merasakan dirinya
selalu tahu

umy hafiza
saratok

Wednesday, August 14, 2013

Perjanjian



hijaunya daun yang bersumpah
untuk terus hijau di hadapan loh mahfuz
pun menepati janji
lalu di mana-mana hutanpun
warna daun itu, tetap hijaunya

kenapa pula, engkau mungkir?

ummy hafiza
saratok

Sunday, June 30, 2013

Sepi Bulan March


gemersik alunan kicauan ombak
di sana bernaung biasan warna
seperti kaca-kaca yang berserakan
di permukaan air laut
warna jingga yang tak pernah lekat
dikelopaknya
adalah kesunyian
bingkisan matahari yang bersembunyi

kenapa apabila terbit rindu itu
hati ini pula yang terbenam?

umy hafiza
saratok

Saturday, June 29, 2013

Persinggahan Cinta


cinta adalah persinggahan
menunggu waktu gugur
kemudian hanyut

semasa tinggi, dibelai angin
dipeluk sayap sang burung
maka cinta pada dunia pun
membuka redup tiga gerbang mesosfera

akan tetapi tetap luruh juga
kerana setiap yang tergantung itu
akan gugur
itu hakikat

ummy hafiza
saratok

Friday, June 28, 2013

Dari Terbit Fajar


Rebahku sujud
mendakap tempatku berpijak
menghirup ketenangan daripada
- akar segala ciptaan


Selepas awal,
umy hafiza ell-buscador

Saturday, June 8, 2013

Lelakiku




Lelakiku,

Kalaulah setiap titisan rindu yang menitis
dari hatiku ini bisa ditakungi
dan dizahirkan
nescaya kau akan melihat sebuah tasik
yang maha luas

Begitulah banyaknya.


Umy Hafiza
Saratok