Wednesday, October 14, 2015

Bara Rindu Di Salju Sakura

EMAIL TERAKHIR JAY [ CHAPTER 1 ]


'Semoga awak bahagia di sana, Jay...'

Hampa suara hati Huda. Dia teruskan juga hayunan tangannya menekuni steering kereta. Air mata menitis tidak berhenti. Setitik menitis membasahi baju kurung ungunya, setitik dua lagi menitis mengikuti alur pipi turun ke bibirnya dan tumpah membasahi selendangnya. Hangat tapi lesu, waima hatinya pun begitu.

Perlahan-lahan renyai diluar menghaluskan kelopaknya. Yang tinggal cuma titik-titik dan genangan air yang membasahi jalan. Terus meluncur keretanya meninggalkan likuan jalan yang basah, meninggalkan semak hutan, kawasan perkuburan nan merah dan laluan-laluan yang terasa panjang sekali perjalanannya.

"Huda, tapi saya sayangkan awak" Suara Jay dalam nada keras tapi halus.

"Jay, jangan macam ni please!"

Kenapa..." Jay kembali menyandar.

"Tolong berhenti kejar saya, saya tak selesa!" Tegas Huda. Dia sudah begitu muak dan menyampah dengan perlakuan Jay yang dianggapnya begitu mengganggu ketenteraman hidupnnya.

"Tapi saya sukakan awak."

"Itu seribu kali awak sudah bagitau! Saya tahu, tapi awak dah kacau hidup saya! Tolonglah berhenti Jay!"

"Saya tak kacau hidup awak, saya cuma bagi awak bunga dan coklat, supaya awak sukakan saya," sayu suara lelaki itu menerangkan niatnya tanpa berselindung disebalik kata-kata.

"Berhentilah Jay! Perbuatan awak tu akan jadi sia-sia. Kita tidak akan sampai ke mana-mana. Saya tak mungkin akan sukakan awak! Sampai kiamatpun takkan sukakan awak!" sahut Huda tegas. Dia sudah tidak mampu lagi bertahan dengan pujuk rayu lelaki itu yang setiap hari menghantarnya jambangan bunga dan coklat disertai dengan sajak-sajak cinta. Walaupun pada mulanya dia menyukai tindakan itu sebagai tanda perkenalan tapi dia merasakan Jay telah memaksa dia menerima perasaannya! Aiman juga sudah lima kali merajuk dengan kedatangan coklat dan jambangan bunga itu. Apatah lagi apabila membaca sajak-sajak cinta dalam bahasa inggeris yang cukup romantis kiriman Jay. Membara-bara marah si Aiman.

Berkali-kali dia menerangkan kepada Aiman tentang perasaannya yang kosong terhadap Jay. Tentang perasaannya dan cintanya yang sepenuh jiwa dicurahkan kepada Aiman.

"Kenapa..."

"Kerana kita berbeza!" sambung Huda lagi. Kali ini biarlah dia melepaskan semua perasaannya yang berdiam saja dengan rayuan dan fe'el Jay ketika memikatnya selama ini. Biarlah dihari itu, di dalam restoren Kenanga dia menamatkan segala-galanya.

"Memanglah, kerana awak perempuan saya lelaki. Hehehe..." Jay cuba meredakan Huda yang dilihatnya sudah mula naik angin.

"Stop it Jay!"

"Saya sedia convert islam untuk awak Huda. Saya akan tinggalkan semua untuk awak!"

"Kenapa Huda? Jay?"

"Berapa kali saya nak bagitahu, cinta tak perlukan penerangan."

"Jay convert islam sebab Huda kan? Huda tak sanggup memikul tanggungjawab memimpin Jay, Huda perlukan pemimpin! Lelaki yang boleh memimpin Huda, bukan Huda yang perlu memimpinnya!"

"Huda, hidup ini adalah satu proses pembelajaran, saya sanggup belajar, sehingga saya mampu untuk memimpin Huda. Berilah saya peluang untuk belajar mengenali alam kamu dengan wanita yang saya cintai..." Lemah suara Jay dan bergenang titisan yang begitu mahal untuk lelaki di matanya. Bagi Jay mungkin menuturkan ayat itu begitu menyentuh hatinya sendiri.

"Aku sudah ada kekasih Jay! Kau pun tahu kan!" Suara Huda sambil menekan suaranya, tegas tapi masih lagi lembut. Huda nampaknya tidak tersentuh langsung malahan semakin bengang dengan ayat rayuan Jay yang tidak pernah memahami bahawa Jay bukanlah lelaki yang dia mahu dalam hidupnya.

"Jay tahu, tapi setakat kekasih Jay tak hairan. Belum tunang atau isteri orang!" Jay menjawab yakin.

"Hem...." Huda tertunduk sambil memejamkan matanya. Jay memerhati tindak-tanduk Huda yang dicintainya itu dengan teliti.

'Gadis ayu, seandainya kau tahu betapanya dalam cintaku ini, mungkin kau tidak akan membuat aku begini. Jatuh maruahku sebagai lelaki kau heret dalam situasi begini, demi cinta mu dan cintaku kepada Tuhan pencipta gadis seindahmu, aku memaafkan setiap detik ini' Suara Jay dalam hatinya merenung wajah bengang Huda di hadapannya.

Keadaan diam seketika.

"Kalau benar Aiman lelaki awak, kenapa dia tidak masuk meminang, kenapa dia tak mengikat awak? Agar tidak ada lelaki yang bukan taste awak, lelaki yang macam saya mengganggu awak." Jay cuba menguji Huda yang seolah sudah kehilangan idea di hadapannya. Itulah persoalan yang selama ini berpagut dihati Jay selama ini. Daripada dia diseksa oleh cinta Huda, biarlah Huda berkahwin atau bertunang, dapatlah dia mengubat hatinya dengan alasan yang releven bahawa dia harus undur dan berhenti.

"Kalau saya jadi Aiman, kalau awak menerima saya, saya akan masuk meminang dan mengahwini awak terus" sambung Jay sambil tertunduk memerhati meja menyembunyikan hati lelakinya yang sayu melihat makanan dan minuman yang tidak terusik. Kedua-dua mereka seolah tidak berselera. Betapa gembiranya dan taksubnya Jay bila kali pertama dalam hidup dan penantiannya Huda mengajaknya keluar makan, namun rupa-rupanya pelawaan Huda itu bukan untuk mengenali Jay lebih jauh, sebaliknya cuba untuk membunuh cinta Jay yang besar, sebesar langit untuknya!

"Huh Aiman? kami belum bersedia! Bukan macam sesetengah orang, bila jatuh cinta, belum cukup mengenali atau bersedia, sudah nak berkahwin. Itu cinta nafsu!" Huda mempertahankan Aiman sambil menyindir Jay. Dia berharap dengan ayatnya itu Jay terus berhenti 'menyeksanya'.

"Itu bukan nafsu, saya cuma ingin hidup disamping orang yang saya cintai secara halal" Jay mempertahankan cintanya lagi. Dia tidak sangka begitu berat sekali tuduhan Huda terhadap cintanya selama ini.

Hahahaha halalll... Huda tergelak di dalam hatinya sambil bibirnya menguntumkan senyum pahit yang cukup sinis. Tahu juga budak cina ini menyebut perkataan halal. Mana agaknya dia belajar, soalnya sendiri.

Petang itu agak cerah dan damai. Di luar tadi angin bertiup santun. Burung yang berkicau pun bunyinya enak. Di pejabatnya Huda menyandar menikmati ketengangan yang sudah dirinduinya sejak tiga bulan yang lalu. Sudah dua hari tiada jambangan bunga, tiada lagi coklat yang sudah mula menjemukan. Tiada lagi sajak cinta bodoh dari Jay! Damainya, Huda bersyukur dalam hati. Tindakannya mengajak Jay keluar malam itu memang tepat. Huda mengagumi kebijaksanaannya sendiri, membebaskan dia dari detik-detik yang derita sewaktu Jay yang merimaskan itu mengejarnya.

"Tadi Ching telefon aku, dia kata semalam semasa Jay balik dari kerja, dia tengok Jay menangis, kenapa tu Huda?" Rin adalah teman sepejabat Huda. Chin, adik perempuan Jay itu pula adalah kawan Rin semasa di university dulu. Sampai sekarang mereka masih lagi rapat, sama seperti rapatnya Huda dengan Rin.

"Hah, menangis? Iee, lelaki apa menangis macam tu!" Sambung Huda memperli betapa lemahnya Jay. Dan kadang-kadang terbit juga rasa bangga dihatinya mungkin kecantikannya itu membuatkan Jay jadi gila bayang. Sampaikan lelaki sejati macam Jay boleh menangis.

"Lah, kerasnya hati kau Huda! Kalaulah ada lelaki yang sanggup menangis macam tu untuk aku..."

"Kalau ada kenapa?"

"Ntah!" Sahut Rin kebosanan. Diam memahami keras hati sahabatnya itu memang tidak bisa dileburkan dengan apa-apa larutan sekalipun! Bertingkah dengan Huda tentang perkara itu cuma membuang masanya saja. Rin, sahabatnya itulah yang selama ini menjadi saksi melihat jambangan bunga yang datang setiap hari dan juga 'teman pemakan coklat' bingkisan Jay. Rin jugalah yang bersama-sama Huda tergelak dengan ayat-ayat jiwang Jay melalui kad cintanya.

"Itulah kau Rin! Muka cantik, peminat keliling pinggang. Tapi tetap takda pakwe! Tapi cakap orang pandai"

"Hahahahaha..."

"Kau nak pakwe macam mana Rin? Kau nak putera turun dari langit? Meluncur melalui pelangi? Hehehehe..." gurau Huda seraya juga dia menyoal. Hairan juga dihatinya melihat keadaan Rin yang masih lagi tidak mempunyai kekasih, walhal sahabatnya itu cantik juga. Malah mungkin lebih cantik Huda sendiri. Namun Huda dan semua orang mengerti, Rin cukup skeema kalau melibatkan hal-hal begitu. Pegangan agamanya cukup kuat, keluarga Rin adalah keluarga yang cukup berpegang teguh kepada ajaran agama. Rin begitu terjaga dan terpelihara.

"Kalau kau nampak aku berpakwa nanti, tandanya lelaki itu lah the best, aku inginkan seorang lelaki yang boleh menyentuh perasaan dan berprestasi untuk membahagiakan aku"

"Ek eleh, cerewet..."

'Huda, saya memohon maaf sekiranya kedatangan email dari saya ini membuatkan awak merasa tergugat dan terganggu. Janganlah awak menyangka saya kembali menganggu awak. Sudah dua bulan saya tidak hadir dalam hidup awak. Semalam saya terkejut dengar cerita dari Chin bahawa Aiman menduakan awak dan akan berkahwin dengan orang lain. Saya begitu marah, kenapa lelaki itu, lelaki yang awak pertahankan selama ini sanggup buat begitu. Kerana Aiman juga saya mengalah, saya membiarkan air mata jantan saya menitis kerana rindukan awak. Saya rindu sungguh untuk menghantar jambangan bunga kepada awak, saya rindu untuk bergegas keluar dari pejabat setiap hari untuk memilih coklat yang terbaik untuk awak, dan saya bersekang mata lambat tidur setiap malam hanya untuk menghasilkan sajak cinta untuk awak. Demi maruah saya sebagai lelaki, saya menangis bukan sebab cinta saya ditolak, tapi saya rindukan semua saat tu, awak tak rindukan saya Huda?

Di email terakhir ini, saya memohon maaf, kerana tidak mampu untuk setia lagi terhadap cinta saya kepada awak. Saya bukan berpaling, sumpah. Cinta yang saya agung-agungkan, ayat puisi cinta saya yang saya kata abadi untuk awak itu bukan saja saya reka, kemudian senang saja saya mungkiri. Bukan. Tapi saya belajar bahawa seseorang itu harus menerima takdir. Apa yang sudah tertulis, itulah yang harus diterimanya. Redha. Saya percaya, dunia ini penuh dengan cinta, begitu juga awak saya tidak ingin awak berputus asa dengan cinta Aiman. Saya merasai apa yang awak rasa sekarang, seperti hati saya dahulu begitulah ia. Bukan, saya bukan memulangkan paku keras kepada awak Huda, saya cuma ingin kan awak menjadi teguh, seteguh saya. Bahawa Huda, saya bukan menyembah Tuhan kamu yang agung itu kerana kamu, tapi kerana jiwa saya sudah ke situ. Sekarang, tuhan yang menciptakan kamu itu, itulah tuhan saya dan saya yakin bahawa tidak ada tuhan yang lain lagi selain DIA. Walaupun cinta awak tidak lagi dapat saya capai, ada satu lagi cinta yang sejati, itulah tujuan kehidupan saya sekarang.

Tabahlah, Huda. Tabahlah Huda. Jangan biarkan cinta menyeksa awak, okey? Kerana ketabahan awak dan keikhlasan hati awak, tuhan kita akan memberikan awak sesuatu yang lebih baik pada masa yang akan datang. Awak yakin dan percayalah tentang ini.

Oh ya, saya kira awak sudah dapat kad dari saya. Kad cinta terakhir itu mungkin sampai semalam bukan? Rin dah bagi kat awak? Saya berharap awak akan berjumpa juga dengan cinta sejati awak.

Salam hormat,

Muhammad Jay Abdullah.


Kereta Huda masih lagi meluncur, habis melintas sebuah perkampungan ini sampailah dia kerumah Haji Basri. Rumah sahabatnya Rin. Air mata Huda menitis lagi. Mungkin dia tidak akan menemui lagi cinta yang lebih luhur dari cinta lelaki bernama Jay. Tapi waktu itu dia buta, cinta yang samar-samar dari lelaki yang kini hanyut dengan cinta bersama gadis lain menutup hatinya untuk dicintai lelaki yang sebenarnya layak untuk cintanya. Tapi dia terlewat, dia terlewat untuk menyedarinya. Dia cuma mampu mendoakan kebahagiaan lelaki itu disisi cinta barunya. Sesunggunya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang dialah yang maha mengetahui dan mencatur segala isi alam.

Dari jauh sudah kelihatan lapan buah kemah hijau bersusun-susun di hadapan rumah Haji Basri. Huda memberhentikan keretanya di sebelah pokok bunga siantan. Dia melihat pada cermin kereta, membetulkan selendangnya, mengelap sisa airmata penyesalannya yang masih berbekas, menyapu bedak dan melayarkan kembali gincu ke bibirnya untuk menerbitkan wajah gembira dan bersemangat menyembunyikan tangisanya sepanjang jalan itu.

Sebelum keluar dari kereta, dia mencapai sebungkus hadiah sederhana besar dari tempat duduk belakang. Hadiah yang dipermukaannya tertulis 'Selamat pengantin baru Rin & Jay, Semoga kekal hingga ke akhir hayat...'


EMAIL TERAKHIR JAY [ CHAPTER II ]


Dua buah ambulan sampai di perkarangan hospital. Bunyi sirennya galak sekali memungkinkan betapa dahsyatnya keadaan manusia yang berada di perut ambulan itu. Pegawai perubatan berlarian memunggah lima batang jasad yang kritikal ke katil beroda. Badan mereka bersimbah darah. Lalu mereka ditolak oleh kira-kira tiga orang attendence dan seorang jururawat. Dari sebuah kereta lain yang mengiringi ambulan itu, Rin keluar dengan pakaian pengantin yang indah, wajahnya mewakili sejuta kejutan dan ketakutan. Haji Basri dan Halim yang berbaju melayu dan bersongket itu turut keluar dari kereta itu kaget sekali. Belakang mereka disimbahi peluh yang lebat.

Sebuah kereta turut meluru laju ke hospital itu, kereta Huda! Dia turut berlarian kaget mendapatkan Rin. Lantas keduanya mengiringi katil-katil beroda itu tanpa bercakap sepatahpun. Jasad yang terakhir dipunggah ialah Ching! Keadannya cukup lemah, darah membuak keluar khususnya di bahagian kaki. Ching tak berhenti mengaduh lesu dan menangis. Mukanya pucat. Rin turut mengiringi Ching masuk ke dalam. Sempat dia berkata, sesuatu kepada Ching agar Ching kuat semangat dan bersabar.

Jay, mana Jay! Mereka masih tidak menemui Jay. Itu yang merunsingkan. Mungkinkah Jay telah dibawa masuk ke dalam hospital ketika kereta baru sampai dulu? Haji Basri dan Halim sudah sampai di dalam bilik kecemasan. Rin dan Huda saja yang masih terpinga di luar, mungkin mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana terlalu takut untuk menghadapi kemungkinan di dalam bilik kecemasan itu.

"Ayah, mana Jay!" Rin berlari mendapatkan Haji Basri yang sudahpun berada di luar bilik kecemasan.

"Jay di dalam, sabarlah Adik..." Jawab Haji Basri tenang.

"Ya Allah... Rin nak jumpa dia ayah! Rin nak jumpa Jay!"

"Adik, sabar. Ramai yang masih di dalam tu, jangan menggangu tugas doktor..."

Rin menangis sekuat hati di luar pintu bilik kecemasan itu. Dari jauh kelihatan puluhan ahli keluarga Haji Basri telahpun sampai dari perkarangan hospital. Semuanya masih lengkap berbaju kurung dan berbaju melayu. Seharusnya mereka sedang bergembira di majlis perkahwinan Jay dan Rin, sebaliknya tiada siapa menyangka malang akan terjadi sebegitu.

Ramai mereka yang berada di situ bertanya di mana dan bagaimana kemalangan itu boleh terjadi. Bagaimana keadaan mereka yang terlibat. Siapa lagi yang terlibat selain Jay, sang pengantin lelaki. Maka terdengarlah desas-desus bahawa mereka yang terlibat adalah adik pengantin lelaki, Chin dan juga ayah Jay. Kemalangan yang terjadi semasa perjalanan menuju ke rumah pengantin perempuan itu tercetus disebabkan kereta mereka telah berlanggar dengan lori perabut. Mungkin kerana jalan yang licin kerana baru lepas hujan.

Sudah sejam berlalu, doktor masih lagi berusaha bermati-matian di bilik kecemasan, melakukan apa yang patut untuk menyelamatkan mangsa. Rin pula menyandar lemah di sisi Ibunya, di kerusi menunggu. Ramai mereka yang datang kearah Rin, memberi kata-kata semangat dan meminta supaya Rin bersabar. Mereka semua menenangkan Rin, namun tak siapa tahu, bahawa ada sekeping hati lagi yang terlalu hancur disaat itu.

Huda. Dia menyembunyikan sebak tangis dihatinya. Seksanya jiwa Huda sewaktu itu, menahan air mata yang seharusnya lebat dari mengalir keluar. Dia duduk di sebelah Rin dan ibunya, sesekali dia menenangkan Rin walaupun hakikat sebenarnya dia sedang cuba menenangkan hatinya sendiri...

Keadaan mula lengang di luar pintu bilik kecemasan itu kerana kebanyakan sanak-saudara Haji Basri sudah beransur pulang setelah dua jam terpacak menunggu di luar.

"Aku terlalu sayangkan Jay, Huda..."

"Aku tahu Rin," sahut Huda akur.

"Rin ingin hidup bersamanya sehingga akhir hayat Rin, dia baik sangat Huda!" suara Rin sayu dalam tangisan sambil menggenggam rapat tangan Huda. Genggaman yang kuat mewakili seribu ketakutan menghadapi apa-apa kemungkinan itu. Sejuk sekali jemari Rin waktu itu.

"Tabahlah Rin..." itu saja yang mampu tercetus keluar daripada mulut Huda yang berkecamuk. Hatinya turut terseksa, tak siapa tahu. Jiwanya turut dihambat nestafa tak siapa tahu. Kalau Rin boleh lega dengan meluahkan semuanya kepada dunia, Huda yang memendam dukanya itu bagaimana? Bagaimana?

"Rin tunggu dulu ye, Huda nak ambil barang di kereta sekejap..." suara Huda seraya melepaskan genggaman tangan sahabatnya itu perlahan-lahan. Tanpa di sedari, Rin telahpun lena menyandar di riba ibunya. Mungkin terlalu letih dengan renyai airmata yang tidak terhenti keluar selama hampir tiga jam!

Hujan mulai mencurah lagi. Di dalam keretanya, Huda mencapai laptop mini berwarna putih miliknya. Mungkin itulah cara yang terbaik untuk dia meluahkan semuanya, luahan yang tidak bisa didengar oleh semua orang. Luahan yang boleh meringankan beban fikirannya waktu itu. Dan perlahan-lahan jemarinya menaip....

' Hai Jay, sebulan yang lepas awak pernah mengutus email kepada saya, tapi saya tidak membalasnya. Adakah awak menunggu balasan email Huda Jay? Maafkan Huda Jay, sudah pasti awak menunggunya bukan. Sekali lagi, gadis bodoh ini menghampakan awak, maafkan saya Jay. Jay, bukan Huda tidak mahu membalas email Jay. Percayalah Jay, email daripada awak Huda baca berulang-ulang. Mungkin lebih dari 50 kali. Huda mengagumi setiap baris ayat awak di dalamnya. Jiwa Huda meronta-ronta untuk membalasnya. Tapi seolah ada sesuatu menyekat Huda. Mungkin kerana Huda ego dan terlalu keras hati atau mungkin kerana kad jemputan perkahwinan Jay dan Rin tersisip rapi di sebelah meja kerja Huda...

Sekarang Jay, biarlah Huda menjelaskan hakikat yang menyeksa jiwa Huda selama ini. Telahan Jay tentang Aiman meninggalkan Huda adalah tidak tepat. Dan dia berkahwin dengan gadis yang tidak dicintainya kerana dia katakan kepada Huda dia akan berkahwin dengan sesiapa sahaja selepas ini. Dia kini membenci Huda Jay. Ini kerana Huda sendiri meminta Aiman melepaskan Huda.

Sebenarnya ini yang berlaku Jay, dua tiga hari selepas Huda tidak menerima jambangan bunga, coklat dan ayat-ayat cinta daripada Jay, huda gembira. Huda ingatkan Huda mampu hidup bahagia dengan ceria tanpa hadirnya itu semua. Tapi Jay, selepas seminggu Huda mulai merindui Jay. Rindu yang teramat sangat, tapi Huda biarkan perasaan itu. Setelah dua tiga minggu tanpa pemberian-pemberian cinta dari Jay, Huda mula hilang arah. Huda gelisah, Huda sering menangis sendirian apabila membaca kembali kad-kad cinta kiriman Jay yang masih Huda simpan sehingga kini. Sehinggakan Huda kurang berminat dengan hubungan cinta Huda dan Aiman. Bermacam alasan Huda berikan kepada Aiman supaya kami tidak keluar bersama.

Selepas itu Huda menyedari bahawa... Jay... Bahawa, Huda sebenarnya sudah jatuh cinta kepada Jay. Percayalah Jay, hati perempuan sangat lembut dan mudah tersentuh. Kalau hati lelaki cepat berubah dan terpikat oleh sesuatu, begitu juga dengan perempuan. Kami juga manusia yang dikurniakan Allah dengan hati yang bukan hati malaikat. Huda sudah tenggelam dan terpikat dalam dunia cinta Jay tanpa Jay sedar, tapi kerana egonya Huda yang lemah ini, Huda biarkan saja rindu ini memukul-mukul di jiwa. Sehinggakan hari itu Huda menerima email yang Jay namakan email terakhir Jay. Huda terkejut, taksubnya Huda membuka email itu, kerana Huda menyangka Jay ingin mencari Huda semula dan menyambung kembali perasaan Jay terhadap Huda.

Tapi Huda salah, Jay memang lelaki sempurna yang begitu menepati janjinya. Walaupun kedatangan email Jay hari itu cukup memeritkan jiwa kerana cinta Huda yang terpendam selama ini dinafikan, tapi Huda terima setiap ayat dah kata-kata ketabahan untuk Huda di dalamnya. Apa daya Huda untuk menyelamatkan perasaan kita apabila email itu datangnya serentak dengan kedatangan kad jemputan perkahwinanmu dengan Rin. Hancur hati Huda tapi tak siapa yang mengetahuinya. Sekarang Huda mengerti tentang hidup, kita tidak boleh terlewat, walaupun seminggu, walaupun sebulan. Cinta yang terlewat diucapkan dan dirasai boleh membunuh hati sendiri menjadi sepi...

Jay, sekarang Jay sedang bertarung dengan nyawa, demi perasaan cinta Huda yang dilahirkan Allah untuk Jay, kalaulah sebahagian daripada umur Huda dapat Huda bahagikan kepada Jay, Huda sanggup walaupun sebahagian nyawa Huda itu Jay akan habiskan dengan wanita lain kerana wanita itu adalah wanita sebaik Rin. Cepatlah pulih Jay. Kerumitan doktor-doktor di bilik sana mengambarkan betapa sakitkan keadaan Jay di sana. Jangan mati Jay. Mungkin semua sedang menipu diri bahawa Jay tidak bertarung dengan kematian. Tapi sebenarnya hakikat, kami takut! Jay, tabahlah Jay, tabahlah. Ya Allah, airmata yang turun semasa menaip email untuk Jay ini menjadi saksi bahawa sayang Huda kepada Jay. Cepatlah sedar Jay.

Huda."


*Sat,huhuhu... sebelum terus membaca cerpen ni, sila klik DI SINI sebentar dan dengar music INI sambil terus membaca, untuk ambik mood cerita ni. Sorry menggangu, teruskan membaca...

Di dalam kereta Huda menangis sekuat hatinya. Tangisan yang dipendamnya sejak dari tadi. Tangisan yang ditahan dan dibendung itu cukup menyeksakan. Di dalam kereta itu Huda meraung dan mengeluh. Menderita! Jiwanya kecamuk. Jay jangan mati! Ataupun dia akan merasa bersalah dan rugi seumur hidupnya. Huda meraung lagi sehingga lupakan apa itu kesabaran. Ya Allah, dugaan ini sungguh menguji imanku. Ampunkan aku ya Allah, suara huda di dalam hatinya setelah tersedar dari perasaannya itu.

Sekali lagi dia mengelap sisa tangisannya. Selesai mengattach email tersebut dia menutup laptopnya. Keluar dari kereta untuk mendapatkan Rin dan mendengar perkembangan terbaru Jay.

Sampai sahaja di ruang menunggu luar bilik kecemasan, Huda mendapati Rin dan keluarganya sudah tiada di situ. Dia bertanya dengan pegawai yang bertugas, pegawai itu memberitahu bahawa mangsa kemalangan telah dipindahkan ke wad Intensive Care Unit(ICU) Huda berlari kecil, terdengar bunyi keletap-keletup kasut tumit tingginya memecah bunyi lantai marmar hospital dirembang petang yang berhujan renyai itu...

Di luar bilik itu dia melihat abang Rin, Halim menunggu. Mata Halim mendung menahan sebak.

"Kenapa abang Halim, Jay? Ching?", tanya Huda dengan suara yang tersekat-sekat.

"Ching cuma patah kaki, tapi Jay..." suara Halim seolah mengecil. Tidak sanggup meruskan ayat pahit yang menyebut tentang kenyataan.

"Kenapa Jay abang Halim...?" tanya Huda lagi, kebingungan.

"Doktor minta kami sekeluarga perlu bersiap dengan pemergian Jay. Jay cuma menunggu waktu, dia mengalami kerosakan hati. Hatinya hancur teruk... Tu dia ada di dalam, jumpalah dia takut tak sempat..." sambung Halim dengan nada sedih.

"Ya Tuhan..." Lemah segala urat saraf Huda, hatinya bagai dihempas dan dibalun. Jay akan mati? Huda sudah lebur, jiwanya hancur dan luluh. Perlahan Huda melangkah ke hadapan pintu bilik yang menempatkan Jay. Ingin dia menggengam tangan Jay dan menceritakan tentang hatinya. Ingin dia meluahkan semua rasanya terhadap Jay. Huda membuka pintu itu tapi, dia menutupnya kembali. Tidak. Di sisi Jay ada Rin, seorang wanita yang layak disamping Jay, langkah Huda terhenti di situ. Air matanya hendak jatuh, menakung. Sekarang takungan itu sudah jatuh lagi! Tubuhnya layu. Dia tidak mampu melangkah lagi, melihat genggaman tangan Rin yang masih diwarnai cerahnya inai itu kukuh sekali dijari lesu Jay yang mungkin sedang bertarung dengan nyawanya.

Huda mengintai dari luar, memerhati dari cermin pintu bilik, tubuh Jay yang terlantar di atas katil. Lelaki yang selama ini membuatkannya tersenyum, sudah kaku di atas katil. Lelaki yang selama ini tabah mengganggunya, menagih cintanya kini lemah tidak berdaya dan menunggu tuhan mengambilnya dari mereka yang menyayangi. Mulutnya ditutupi topeng oksigen, hanya matanya yang kelihatan. Tapi entah mengapa, walaupun dibatasi pintu biru yang kukuh, dan dihalangi sebuah cermin yang kabur, Huda melihat mata Jay sedang merenung kearahnya. Walaupun dibatasi oleh pintu biru yang kukuh, dan dihalangi sebuah cermin yang kabur, Huda dapat melihat setitis genangan air yang jernih, berkilau, jatuh mengalir dari anak mata lelaki lesu yang sedang merenungnya itu...


EMAIL TERAKHIR JAY [ CHAPTER III ]

Ai-Ai berlari mengejar buih-buih yang beterbangan. Setiap buih yang tercetus ditangkapnya lalu dipecahkan dengan jari. Lembut sekali jemarinya ketika menjentik buih-buih yang terhasil dari permainan tiupan buih yang baru dibelinya itu.

"Tiup lagi papa..." desak Ai-Ai.

"Ok! Ok sayang...papa tiup lah ni!" Termengah-mengah Jay menghembuskan nafasnya meniup permainan buih itu agar buih-buih yang tercetus dapat di tangkap oleh Ai-Ai kesayangannya itu. Anak kecil itu terlalu dimanjakan. Segala yang diinginkan pantang ditolak. Kalau tidak alamat kiamatlah muka bumi ini dengan suara rengekan dan hentakan kakinya. Aduh, bagaikan kaki yang comel si kecil itu boleh menggoncang dunia.

Seperti biasa, sebagai seorang lelaki yang amat penyayang, Jay melayan karenah anak kecil itu tanpa membantah. Akur dan menurut saja. Sayangnya kepada si kecil yang comel berusia empat tahun itu, si kecil itulah 'teman' nya yang paling rapat.

"Mama...!" Suara kecil yang manja itu begitu ceria ketika melihat kehadiran Rin. Dikala anak kecil itu berlari untuk mendapatkan mamanya itu Jay menangkap punggung si kecil itu, mendukung dan membelitkan badannya ke leher Jay. Ai-Ai terjerit manja.

"Hahahaha... sayang pipi papa dulu," kata Jay ketika menyidaikan budak lelaki comel itu dibahunya. Lentur tubuh si-kecil itu. Kemudian di peluknya anak itu. Dicium-ciumnya bertubi-tubi. Si kecil menolak mukanya dan meronta-ronta. Manja sekali!

"Nanak!... Nak mama...!" si kecil merengek-rengek minta dilepaskan.

"Okey,okey... pegi dekat mama..." ikut Jay lembut seraya menurunkan kembali si kecil kesayangannya itu dari dakapannya. Si kecil berlari mendapatkan mamanya dan duduk diriba mamanya yang telah pun duduk di bangku laman.

"Papa, ada berita gembira!" Suara Rin sewaktu meletakkan Ai-Ai diribanya.

"Kenapa ma?" soal Jay ingin tahu.

"Huda, dia akan pulang ke Malaysia..."

"Oh..." Jay bersahaja, namun dihatinya terlalu gembira. Rindunya dia terhadap Huda, tiga tahun tidak bertemu, cukup untuk membuatkan setiap cebisan rindu Jay kepada Huda menjadi setinggi gunung.

"Siapa bagitahu," tanya Jay lagi.

"Dia sendiri lah. Mama pun terkejut dia tiba-tiba menghubungi office semalam..."

"Tiga tahun tak jumpa dia, selepas hari papa accident tu, dia terus hilang. Tup-tup dengar dari Wice dia sedang belajar di Tokyo..."sambung Rin lagi.

"Hem..." Jay terdiam seolah mengelamun tentang sesuatu. "Dia balik bercuti ke atau balik terus?"

"Itu mama tak pasti la papa," Jawab Rin sambil menyapu-nyapu dahi Ai-Ai dengan tangannya, menyeka peluh di dahi anak kecil yang ligat bermain itu. Huda, setiap kali melihat bunga, muncullah bayangan Huda. Setiap kali Ai-Ai merengek meminta coklat, muncullah Huda. Di segenap pelusuk rumah, di dalam kereta, di tepi jalan, di sana ada Huda. Haruskah Jay berfikiran begitu? Jay tunduk sendiri, cuba menafikan perasaan yang masih berkembang di benua hatinya.

"Oh, siapa hantar mama tadi?..." Jay seolah ingin menukar perbualan. Dia tidak mahu terus hanyut dengan bayangan Huda. Makin sakit dan keliru jiwanya pabila Huda menjelma bagi bayang-bayang muncul di setiap ruang yang bercahaya. Bayang itu, apabila hendak disentuh, ia tiada. Begitulah wujudnya Huda dalam tiga tahun itu. Kelemasan Jay dibuatnya.

"Nazmi yang hantar tadi. Papa, esok kita sama-sama jumpa Huda okey pa?" ajak Rin sambil menepuk-nepuk belakang Ai-Ai. Ai-Ai menyandar rapi di rusuknya.

Jay sekadar mengangguk. Hatinya cuba membayangkan wajah Huda. Tiga tahun wajah itu hilang namun setiap lekuk dan garisannya tetap terpahat di lembangan hati Jay. Tidak pernah terusik dan luak walau sedikitpun. Bagi Rin pula itulah saat yang gembira dinantikan dalam masa tiga tahun itu. Sudah lama Rin menunggu pulangnya sahabatnya itu. Tidak berhenti dia berdoa agar Huda kembali dan mereka dapat berjumpa dia. Itu doa Rin, sekali seumur hidup pun jadilah. Asalkan Al-Rahman memperkenankan hajatnya untuk bersua muka dengan Huda, berkongsi cerita suka duka kehidupan seperti masa-masa yang lalu.

"Mama tiuplah buih!" tiba-tiba si Ai-Ai meloncat-loncat di riba Rin, seorang raja kecil sudah mengeluarkan titah! Fikiran dan ingatan Jay dan Rin yang mengapung diudara turut terpecah bagai buih dek titah anak kecil yang nakal itu.

"Ai...Ai... sudah jangan loncat macam tu, sian adik kat dalam perut mama tu..." nasihat Jay ketika anak kecil itu meronta ronta diriba Rin menyuruhnya meniupkan permainan itu.

"Bak sini... biar papa tiupkan!" ujar Jay sambil duduk mencangkung membelakangi anak kecil dan mamanya itu. Seperti sudah biasa Ai-Ai melompat ke belakang Jay. Kedua-duanya bersorak gembira bermain buih di tengah laman.

Hujan turun, langit berarak mega dari timur. Burung-burung yang memagut wayar elektrik di angkasa sudahpun diam disarang. kenapa hujan turun? Mungkinkah hujan yang merakam memori pahit tiga tahun yang lalu muncul kembali dihari pertemuan tiga sahabat itu? 'Renyai juga. Seperti renyai tiga tahun yang lalu,' Bisik hati Jay ketika keluar melangkah dari kereta menuju ke Restoren Kenanga. Kenapa Restoren Kenanga juga yang dipilih oleh Huda pada hari pertemuan itu. Entahlah, misteri. Hanya Huda sendiri yang tahu.

Ketika hendak masuk ke dalam restoren itu Ai-Ai merengek minta didukung. Jay mendukungnya. Rin mengiringinya di sebelah. Ketika mereka sampai, tempat duduk bahagian paling tepi yang telah di janjikan sebagai medan untuk mereka berjumpa di restoren Kenanga itu masih kosong. Ternyata Huda belum sampai.

Kenapa Huda belum sampai, suara Jay kesal. Alangkah baiknya kalau Huda yang sampai dulu, agar aku tidak diseksa dengan debaran hatiku ini, gelisah jiwaku ini menanti bertemunya.

"Tu Huda...!" suara Rin sambil melambai-lambaikan tangannya kepada seorang wanita yang bertudung hitam, berbaju coklat muda yang baru masuk ke pintu hadapan restorenn itu.

Huda menghampiri meja mereka, tersenyum tenang. Rin bangun, kedua sahabat itu saing berdakapan, terimbas kembali seperti satu video pendek, segala suka-duka memori sepanjang mereka bersahabat, tergambar bagai baru semalam semuanya berlalu. Jay cuma melihatnya dan mengamati wajah yang terlalu dirinduinya selama ini. Huda, jelas sekali, tiada apa yang berubah padanya selain kulitnya yang lebih cerah dan putih dan tubuhnya yang sedikit kurus berbanding dahulu. Itu saja, selain itu, Huda masih Huda yang dulu, suara Jay dalam hati ketika pertama kali melihat Huda selepas tiga tahun dia memendam rindunya. Selesai berdakapan dan bersalaman, Rin mempelawa Huda duduk. Percaya atau tidak, bagai dirancang, atau apalah yang sebenarnya terjadi, kerusi itu letaknya betul-betul di sebelah kerusi Jay. Mereka duduk selari, kerana anak kecil bernama Ai-Ai itu memonopoli dua lagi kerusi dengan permainannya yang entah apa.

"Huda apa khabar,' tanya Rin.

"Alhamdulillah, sihat..." sahut Huda. Jay duduk diam saja di sebelahnya, seperti sedang memendam sesuatu.

"Huda di Jepun selama ini...?" ujar Rin inginkan kepastian lagi tentang lokasi tempat Huda menjalankan kehidupannya selama ini.

"Ha-ah..." Huda mengangguk lagi.

Sedang sahabat yang baru mahu sebati kembali bercakap beberapa patah saja perkataan itu Wice pula sudah tiba lalu terus duduk bersama mereka berempat. Semacam satu reunion diatur yang menemukan ke-empat sahabat itu, waima Wice yang selama ini berada di Malaysia pun baru berkesempatan bertemu mereka pada hari itu.

Tiba tiba saja kedengaran suara seorang anak kecil merengek, "Papa! Nak balik!" Suara Ai-Ai. Mungkin kanak-kanak itu sudah mula bosan dan ingin keluar dari restoren itu. Ai-Ai mencemikkan mukanya. Muka kebosanan.

Huda menoleh di sebelah, menoleh lelaki yang dipanggil papa oleh anak kecil itu. Jay membalas pandanganya, matanya bersinar, luhur sekali, seperti banyak sekali perkara yang ingin diceritakan.

Huda sekadar tersenyum. Memerhati gelagat anak kecil nakal di hadapan mereka.

"Mama, nak balik! Waaaa..." Sudah, Ai-Ai bertitah kepada Rin pula. Huda tunduk akur. Panggilan mama dan papa oleh anak kecil itu pada Rin dan Jay cukup untuk menggoncangkan hatinya.

"Happy family..." Kata Wice, sambil tersenyum. Tiba-tiba pandanganya mengalur ke wajah Huda, masih redup wajahnya, seperti luka dalam gembira, seperti masih berbekas cemburu dan sayangnya terhadap lelaki bernama Jay itu. Wice tunduk, dia yang banyak mengetahui rahsia Huda itu seperti dapat meresapi perasaan Huda.

"Kenapa Huda tinggalkan Rin, tak bagitau pun... Lepas malam tu Huda hilang, at least nak ke jepun bagitaulah kami, dapat kami hantar dan ucap selamat tinggal," adu Rin kecewa dengan sikap sahabat setianya itu.

"Huda balik terus, lama ke di sini?"

"Tak lah, Huda balik esok..."

Jay masih terdiam dan tidak ada sepatah perkataanpun keluar dari mulutnya pada waktu itu.

"Kenapa perlu jauh sangat macam tu Huda?"

"Tak apalah Rin, walaupun aku jauh, ke luar galaxy sekalipun, hati aku tetap di sini..." kata Huda. Jay masih lagi terdiam dan tunduk membisu.

'Tidak ada sepatahpun, kenapa dia tidak bersuara? Aku amat merindui untuk mendengar suaranya, melihat wajahnya sudah, aku perlu mendengar suara lelaki itu, aku sangat merindui suara itu. Sekali pun cukuplah, akan ku bawa suara itu merentasi benua pulang ke Tokyo dan tak akan kembali lagi ke Malaysia. Biarlah aku simpan suaranya, di sini, di celah ruang ingatanku' rintih Huda dalam hati.

"Huda, sebenarnya ada sesuatu yang Rin ingin ceritakan. Huda, sebenarnya Jay,"

"Mama! Nak balik!" Si kecil itu berteriak, merengek meronta-ronta. Suaranya memenuhi segenap ruang di restoren itu. Jay mendukung dan memujuknya, memeluk anak itu dengan penuh kasih sayang, Huda memerhati dengan ekor mata. Masih tidak berubah lelaki ini, sifat penyayangnya, bertuah sungguh wanita yang hidup di sampingnya. Seribu tahun pun aku tidak akan dapat mengisi ruang kosong dihatiku ini yang aku berikan cuma untuk lelaki ini, suara Huda di hatinya.

Rin dan Jay sudah kaget. Mereka saling berpandangan. Itulah yang sememangnya menikam jiwa Huda. Nampak sungguh suasana bahagia suami isteri itu menguruskan anak mereka, suara hati Huda. Dia cemburu, tapi redho. Dia juga bersyukur sahabatnya itu kini hidup bahagia di samping Jay.

"Tak apa Rin, korang pujuklah anak korang dulu," kata Huda sambil meneguk coffee yang telah sampai di meja mereka, tersekat nafasnya melihat Jay yang dirindui ada di depan mata, di sebelahnya. Biarpun tidak bersuara, dapat dia merasakan dekatnya hati mereka, seperti bersatu menjadi sekelompok perasaan rindu yang sukar untuk difahami.

"Huda tunggu okay... ada hal Rin nak cerita" Sahut Rin sambil memeluk Ai-Ai yang meronta di hadapan mereka. Cawan yang berada di meja hampir terjatuh oleh tangannya yang dihentak-hentak ke meja mengajak mereka balik.

"Mama mana pistol mainan Ai tadi?" Jay bersuara. Suara yang cukup dirindui Huda itu, memangil Rin mama di hadapannya. Sakit hati huda, seperti luka di hatinya yang tertoreh tiga tahun yang lepas berdarah kembali, namun seperti biasa, dia cuma mampu mendoakan pasangan itu di dalam hati.

Rin meminta Huda menunggu sementara dia dan Jay membawa Ai-Ai ke kereta sebentar untuk mengambil pistol mainan yang dikira dapat menenangkan Ai-Ai. Agar mereka boleh bersembang dengan tenang, kalau tidak, habislah satu restoran itu 'hancur' dikerjakan Ai-Ai anak kecil yang terlalu bangat manjanya!

Sekembalinya mereka bertiga, ke dalam Restoran Kenanga, Huda sudah tiada. Si kecil Ai-Ai masih tidak kelihatan, sebenarnya dia sedang berada diluar, bersama Nazmi. Dipujuk-pujuk dengan main perang-perang oleh uncle Nazmi agar ketiga sahabat itu boleh berbincang dan berborak dengan tenang. Tapi Huda sudah tiada, di manakah Huda? Yang tinggal cuma Wice yang sedang makan dengan berseleranya.

"Mana Huda Wice?" tanya Rin, kehairanan, matanya mencari-cari kesegenap restoren itu. Begitu juga dengan Jay, dia sudah mula gelisah.

"Dia dah balik, agaknya kepenatan, atau pun tak sanggup melihat kebahagiaan korang berdua. Kau berdua ni pun satu, waktu macam ni pun nak bawa anak lagi, Korang sama-sama faham perasaan Huda pada Jay bukan, kenapa hendak menyeksa dia? Saja nak tunjuk kebahagiaan korang ke?" ujar Wice menyuarakan rasa kesalnya.

Rin mengeluh. "Laaa.... bukan ler Wice!... Iskkkkk! Huda ni, kan Rin dah suruh tunggu, biar Rin ceritakan segalanya!" sambung Rin dengan nada geram.

Ketika mengeluh itu, Nazmi dan Ai-Ai sudah datang kepada mereka, melihat wajah pucat Rin Nazmi memegang tangan isternya itu.

"Kenapa sayang?" tanya Nazmi.

"Tak, Huda la abang, belum sempat ayang cerita semua dia dah balik," suara Rin kesal kesedihan, sekali lagi mereka akan kehilangan Huda. Melihat Rin yang kesedihan Nazmi menarik Rin ke dalam dakapannya sambil dia mencium dahi isterinya itu menenangkan.

Wice yang menyaksikan perkara itu dengan mata terbeliak.

"Apa semua ini? Isteri Jay dipegang lelaki ni, herrr, Rin dipeluk, herrr? Apa yang terjadi sebenarnya? Jay suami siapa? Rin isteri siapa?!" Wice keliru, dia betul-betul tidak faham, seperti sebuah jalan cerita yang berbelit, dibuat oleh pengarang yang terlalu kreatif.

"Wice, itulah yang Rin nak terangkan. Rin nak perkenalkan, ini Nazmi, suami kesayangan Rin, dia lambat sampai tadi kerana hantar mak ke rumah kakak. Suami Rin tak sehensem Jay, tapi inilah buah hati belahan jiwa Rin sekarang." terang Rin luhur.

"Habis tu... ber papa- ber mama...?"

"Lah, budak Ai-Ai ni dah berumur empat tahun, Jay accident tiga tahun lepas kan? Hari yang sepatutnya kami berkahwin. Takkan anak kami boleh empat tahun!"

"Habis ini anak siapa?"

"Ini anak Ching la Ai, teman rapat Rin semasa di university. Ingat tak, ibu tunggal, adik kepada Jay?"

"Takdir tuhan, Jay yang sepatutnya mati malam tu, sebaliknya Ching pula yang meninggalkan kita. Sebelum meninggal Ching sempat berpesan supaya menjaga Ai-Ai dan mengambilnya menjadi anak angkat kami. Biar kami menjadi mama dan papanya."

"Aih? Boleh pula macam tu?" Wice semakin keliru.

"Ha ah la, Ching pesan agar jangan sesekali membiarkan Ai-Ai merasakan dirinya tidak berayah dan beribu. Kami diamanahkan untuk itu. Ini ha, cik abang Nazmi kesayangan saya ni la yang menyarankan, sejak budak ni sudah pandai bercakap, kami pun membiasakan diri dengan panggilan papa dan mama, agar anak ini tidak merasa kehilangan," terang Rin lagi.

Itulah perkara yang sebenarnya berlaku. Papa itu panggilan untuk Jay kerana tidak ingin Ai-Ai merasa kekurangan dalam hidupnya. Rin pula dipanggil mama, sebaliknya keduanya bingung bagaimana untuk memanggil antara satu sama lain. Kalau dipanggil nama tentu si Ai-Ai akan hairan. Kalau dipanggil abang, macam mana pula dengan suami Rin, maka idea untuk memanggil papa dan mama di hadapan anak kecil itu dicetuskan sendiri oleh Nazmi, seorang lelaki yang sporting dan memahami sekali.

"Aku dah faham sekarang! Jadi korang tak jadi kahwin?" teka Wice yang sudah mula faham. Rin mengangguk.

"Rin terbaca email Huda untuk Jay yang Huda tulis pada malam Jay kemalangan tu, besar sungguh pengorbanan Huda untuk Rin. Rin tidak sanggup untuk hidup bersama Jay, setiap kali melihat Jay, akan timbul Huda di situ. Rin memutuskan untuk tidak meneruskan perkahwinan kami. Sehinggalah Rin jumpa abang Nazmi, sekarang cinta Rin seratus peratus untuk dia!"

"Oh kenapa tak cerita dari awal," tempelak Wice. Jay tunduk membisu. Menyesali akan kedinginnya tadi, kalaulah dia mengambil peluang itu untuk menceritakan perkara yang sebenar lebih awal, mungkin dia tidak akan terlepas Huda.

"Nak ceritalah tadi, tapi Ai-Ai menangis, sekarang Huda pula hilang..." sahut Rin memberikan alasan.

"Erm, pengorbanan Huda memang besar... Dia sanggup pergi untuk kebahagiaan kami..."

"Itu belum dikira besar, kalau aku cerita ada lagi yang lebih besar, besar sebesar besarnya," kata Wice cuba membuka cerita.

"Apa tu Wice?", soal Rin.

"Malam tu, Jay nazak bukan?" Wice mula menyoal, Jay pula mula berminat dengan kata-kata Wice kerana cerita itu menyebut nama dan berkisar tentangnya.

"Ha-ah..." Rin mengangguk.

"Dia mengalami kerosakan hati yang teruk, hancur betul tak?"

"Yaaaa! Habis tu apa lagi?!" Rin mula hilang sabar dan teruja dengan penerangan Wice yang sepatah-sepatah itu namun tidak juga keluar isi ceritanya.

"Tahu tak siapa penderma hati yang menggantikan separuh hati Jay yang rosak teruk tu?"

Rin menggeleng, Jay pula menanti dengan tekun cerita yang seterusnya, pandangan mereka lekat dan terpacak ke muka Wice.

"Huda..." Sahut Wice. Pistol mainan milik Ai-Ai yang kini lena tidur di lengkung Nazmi terlepas dari genggaman Jay. Jay, sangat terkejut!

"Ya Allah.." Itu saja yang mampu terkeluar dari mulut Rin ketika mendengar penerangan itu. Dia mengucap panjang. Patutlah selepas malam itu, Huda hilang entah ke mana. Tidak juga turun ke pejabat. Lesap bangai angin. Rupanya dia tekad untuk memberikan sesuatu yang paling besar miliknya buat lelaki yang disangkanya akan menjadi suami Rin. Memberikan hatinya!

Jay kaku, kehilangan diri. Dia meraba dadanya, masih terasa parut pembedahan tiga tahun yang lepas. Di dalam kulit yang tercalar ini, rupanya ada sekeping hati milik Huda. Patutlah tidak pernah seharipun wanita itu hilang dari ingatannya. Patutlah Huda sentiasa ada dijiwanya, rupa-rupanya Huda telah melekat dihatinya, mengalir melalui urat darahnya, sebati membelai jiwanya.

Dia meraba dadanya lagi, terasa sakit dan sesak nafasnya. Mungkinkah itu yang dirasai pemilik hati yang sama itu sekarang? Adakah Huda terluka akibat salah fahamnya terhadap hubunganya dengan Rin dan Ai-Ai kesayangannya? Adakah hati Huda sekarang merasa berdenyut sakit dan sepi seperti hatinya?

"Huda tinggal dimana?" soal Jay kelam kabut. Ingin rasanya sekarang juga dia mengejar dan mendapatkan Huda, tapi dia tidak tahu harus bagaimana.

"Tak tahu lah papa, Rin belum sempat tanya..." ujar Rin bingung.

"Nombor telefonnya Rin?"

"Dia telefon Rin guna telefon pejabat. Lepas tu janji jumpa kat sini..."

"Wice?!!" tanya Jay. Wice menggeleng dan mengangkat bahu tanda tiada...

"Jay! Jay!" Teriak Rin dan Wice sewaktu melihat Jay berlari keluar dari restoren. Jay sebenarnya mencari Huda.

Huda, di manakah Huda. Hujan diluar masih merenyai, Jay berlari, mencari ke segenap ruang. Basah, basah sudah hati mereka, sebasah Jay yang tunduk hampa, dibasahi hujan. Pandangan yang kosong dan sepi. Hatinya terasa sebak dan sakit, mungkin begitulah perasaan pemilik sekeping lagi hati ini. Huda, mungkinkah selama tiga tahun itu, ketika dia diburu rindu kepada Huda, sebenarnya di sana hati Huda begitu juga?

'Huda...' suara Jay yang kebasahan di tengah renyai hujan sambil meletakkan tangan erat memeluk dadanya sendiri, meraba tempat bersatunya hati Jay dan Huda.



EMAIL TERAKHIR JAY IV (FINAL)




"MARCUS JAY FONG"

Itu nama yang tertera pada banner kertas yang dibawa oleh seorang wanita berkaca mata dan bermata sepet di Narita Airport, lapangan terbang yang berlokasi di Chiba Profecture itu. Dicelah ramainya manusia lain yang sedang menunggu wanita bersweater yang tidak berapa tinggi itu mengangkat dan menjulang banner kertas itu dan berharap adalah orang yang bernama itu datang kepadanya.

Dari jauh Jay sudah dapat menangkap namanya diamang-amang oleh perempuan yang tidak dikenalinya itu. 'Sepatutnya Rahim yang datang. Hem, mungkin dia ni salah seorang staff syarikat," bisik hati Jay sambil mengheret bagasinya menuju ke arah wanita itu.

"Wa ta shi no namewa Jay desu," Suara Jay yang sudah tercegat dihadapan perempuan itu yang hampir tidak perasan kehadirannya di celah suasana yang bingit dengan sanak saudara dan sahabat yang menunggu keluarnya puluhan manusia dari perut kapal terbang itu. Akhirnya wanita itu perasan juga kehadiran Jay tercegat di hadapannya. Dia tersenyum seraya melipatkan bannernya.

"Sik payahlah awak nak berbahasa Jepun, saya orang Melayu Sarawak," Ujar perempuan itu tersenyum sambil menghulurkan tangannya. Dia memperkenalkan namanya sebagai Katrina dan nama panggilannya adalah K. Warga Malaysia yang sudah tiga tahun berada di bumi Japan itu.

"Saya ingat awak orang Jepun, ciri-ciri fizikal awak macam orang Jepun"

"Ehm, mungkin sebab lama sangat kat sini, dan tak balik malaysia, fizikal saya terus berubah," sahut wanita itu mesra. "Rahim banyak bercerita tentang awak." sambungnya lagi dalam perbualan mereka sementara menuju ke kereta yang sudah sedia menunggu.

"Ya, Rahim tu kawan rapat saya di Malaysia. Sepatutnya kami sama-sama dihantar ke sini lima tahun yang lepas, tapi saya menolak."

"Awak agak hebat berbahasa Jepun?" soal Katrina yang kagum dengan kebolehan Jay apabila melihat Jay memperkenalkan dirinya dan bersembang sedikit dengan pemandu teksi Jepun yang memandu dihadapan.

"Sudah tujuh bulan saya belajar, setiap tiga hari seminggu saya akan ke kelas bahasa Jepun"

"Wah, tekun nya awak." puji Katrina ikhlas.

"Saya suka bersedia, lagipun saya dengar penguasaan orang Jepun terhadap Bahasa Inggeris begitu lemah sekali...Saya tak mahu sampai orang lain susah sebab saya. Terpaksa menterjemahkan, atau mencari saya yang sesat jalan" ujar Jay sambil tersenyum.

"Ehem, itu dulu Encik Jay, sekarang orang Jepun pun dah expert english." dakwa Katrina. "Owh, saya hampir tak perasan awak tadi, kerana wajah awak takda beza dengan orang sini" sambungnya lagi.

"Saya sebenarnya Chinese, convert to muslim empat tahun yang lepas"

"Owh, kahwin melayu?" soal Katrina.

Jay sekadar menggeleng. Selepas itu wanita itu mulai perasan, selalin perakara yang penting-penting Jay kurang bercakap. Sepanjang perjalanan mereka ke rumah Rahim yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Nihonbashi. Lelaki itu seolah banyak berdiam dan berfikir. Sepanjang perjalanan itu Jay dilihatnya menoleh keluar. Seperti merenung yang hanyutnya terlalu jauh. Setiap wanita yang memandu kereta diperhatinya mahupun yang menumpangnya diperhati. Setiap wanita yang di tepi jalan diamatinya, berminat sekali dia dengan pemandangan di sepanjang perjalanan ke Tokyo City khususnya kalau ada objek yang berpakaian wanita. Seperti tercari-cari bayang seseorang.

'Gatal ke lelaki tok? Asik tengok perempuan je?' Bisik hati Katrina sendiri. 'Tak mungkin gatal, wajah dan renungan matanya nampak macam orang yang baik. Pandangannya matanya melihat aku pun begitu sederhana,' nafi Katrina. Dia berhujah dengan dirinya sendiri. Sejuk masih membungkusi segenap ruang kawasan.


"Hahaha... apa dah jadi kawan? Lima tahun dulu kau tolak desakan syarikat hantar kau kat sini, sekarang aku dengar kau sendiri lebih dari 20 kali mohon ditukarkan ke sini? Apa dah jadi?" Kata Rahim ketika Jay sampai ke rumah. Tadi Rahim tengah bermesyuarat, jadi dia tidak dapat menyambut Jay di lapangan terbang. Lalu dia wakilkan pembantunya Katrina.

"Saja suka-suka." sahut Jay ringkas. Dia kepenatan untuk menerangkan semuanya.

"Macam mana dengan Ai-Ai, hari tu di facebook kau aku tengok gambar kau dengan dia. Dahsyat anak bujang kau tu, ganas muka dia!"

"Ai-Ai dah diambil ayahnya, aku ni siapalah, pakciknya saja, aku menumpang kasih sayang saja," jawab Jay.

"K tadi, macam mana dengan dia. Cun tak?"

"Boleh la."

"Kau tanak try? Aku dah takda chance, nanti puan besar marah...!" ujar Rahim berseloroh.

"Kau nak makan dulu ke? Tujuh jam lebih dalam fligt, confirm lapar. Jom lepas kau susun barang kau semua kita pergi makan" sambung Rahim lagi.

"Halal?"

"Aku tahu la kau dah masuk islam Jay, memang aku cari yang halal, habis aku ni islam original, kau ingat selama ni aku makan benda hidung kontot tu ke?" Jay tersenyum sewaktu Rahim memberikan penerangan sambil dia mengemas semua bagasinya di dalam bilik itu.

Kita makan di Nihonbashi, makanan sana sedap-sedap. First restoren yang aku rekemen kau!" Suara Rahim ketika sedang tekun memandu ke destinasi tempat makan yang disarankannya kepada Jay. Jay menurut sahaja. Sejak tujuh bulan yang lepas, Jay banyak makan makanan Jepun. Apa-apa tentang Jepun begitu menarik minatnya. Bahasa, makanan dan apa-apa yang berkaitan dengan Jepun!

"Kau dapat tolong aku tak?" tanya Jay ketika Rahim sedang membelok mencari tempat parking.

"Anytime...tolong apa"

"Cari seorang pelajar malaysia yang menuntut di sini..." sambung Jay.

"Itu aku boleh selongkar kawan kamceng di kedutaan. Tapi kau kena ada nama penuh dia yang tepatlah..." terang Rahim. Kereta mereka akhirnya berhenti di ruang tempat letak kereta di JR Yamanote, Marunouchi Line. Di mana di situ juga terletaknya station keretapi metro masih menjadi nadi bagi bandar Tokyo itu.

"Huda Ratna bt. Abdul Rahman, 27 tahun."

Di Nihonbashi Restaurant, Huda tersedak lalu terbatuk-batuk ketika sedang menghirup Miso Soup itu. Segera dia menyapu tisu ke tepi bibirnya yang basah. Faiz dan Ema memerhatikan saja. Keduanya telah selesai makan. Tinggal Huda saja. Huda memang lambat makan, itu perangai semula jadinya. Dan makanannya selalu saja tak habis. Itu perkara biasa tapi ada sesuatu yang betul-betul lain melanda Huda pada hari itu. Sejak dari tadi, mereka perasan akan perubahan Huda pada hari itu. Apatah lagi si Huda sendiri. Dia lebih perasan akan hatinya sendiri. Entah mengapa, sejak dari tadi hatinya berdebar-debar. Seperti merasakan sesuatu. Tapi dia tidak pasti apa yang dirasainya.

"Kenapa cik Huda kita ni?"

"Entah lah, dari tadi ada orang tu macam gabra je, termenung memanjang..." soal Ema serentak dia mengusik. Huda sekadar tersenyum. Puas juga dia memikirkan, dia melamun, tapi tak tahu apa yang difikirkannya.

"Orang tua-tua kata, kalau orang tu tidak ketentuan, kemungkinan dua perkara akan terjadi kepadanya." ujar Faiz.

"Apa dia?" tanya Ema penuh rasa ingin tahu.

"Pertama, soulmate dia mungkin ada disekitar..."

"Owh, kedua?" Ema bertanya lagi.

"Kedua pula mungkin dia kena angin kus-kus mata kelabu!" Gurau Faiz.

"Sewel!" Ema mencubit lengan Faiz ketika lelaki itu tersengih-sengih dengan gurauannya.

Sejuk masih mencengkam tulang ketika mereka keluar dari restoren. Sekalipun suasana sudah sepi kerana beransur malam, kabus sejuk yang dingin tidak pernah meninggalkan mereka. Semulajadi Huda, dijadikan segala-gala tentangnya begitu lembut. Dia senang kena selsema, senang kesejukan. Kerana itulah dimusim dingin yang memagut sum-sum itu dia akan menaikkan scarf yang terlilit di lehernya hingga ke paras hidung. Itu saja yang boleh menghilangkan sejuk. Berbungkus.

Enjin kereta Rahim telah dipadamkan. Selepas parking kereta, mereka terus saja berjalan menuju ke Nihonbashi. Ketika itu jualah Huda, Ema dan Faiz berselisih dengan mereka. Tidak Jay perasan akan wanita yang berbungkus melintasinya itu kerana tekun memerhati ke arah banggunan-banggunan yang ada di situ. Tetapi Huda, dalam perjalanan mereka ke kereta itu langkah Huda tiba-tiba terhenti!

"Kenapa Huda?" tanya Ema kerisauan apabila melihat kawannya itu memegang dadanya.

"Nafas aku sesak la. Bahagian dada kiri aku ni tiba-tiba sakit..." adu Huda yang masih memegang dadanya.

"Laa," Rest la dulu, aku suruh Faiz bawa kereta ke mari. Sambung Ema lagi kerisauan.

"Tak, banyak sangat makan wasabe tadi kot..."

"Erm, itulah kau, berbungkus macam tu. Scarf tutup hidung, sesak la nafas. Ha lepas tu makan pedas tak berpantang. Ingat lah sikit cik Huda, hati awak tu bukan full lagi. Tinggal separuh aje, lain kali berjaga-jaga sikit," bebel ema lagi.

Malam kian melarut, hari pertama di Tokyo. Jay memerhati persekitaran yang senyap dan sunyi itu melalui cermin kondominumnya. Di mana agaknya Huda. Mungkinkah kedinginan malam sedang membungkusnya? Sudah tidurkah dia...?

Petang Sabtu itu masih cerah dan harmoni. Sekalipun kabus-kabus yang sejuk masih lagi berkeliaran membaluti persekitaran bumi matahari terbit itu, namun hari itu adalah hari yang paling menggembirakan bagi Jay. Penantiannya selama tiga minggu itu berakhir jua. Rahim telah berjaya mendapatkan maklumat tentang Huda. Tapi maklumat yang ini menunjukan Huda Ratna Abdul Rahman bukan seorang pelajar di Tokyo University. Tapi dia seorang pekerja dibawah sebuah Syarikat Singapura. Maklumat Wice ternyata salah. Huda di Tokyo bukan belajar sebaliknya bekerja. Mungkin Wice saja meneka, hati Jay memberikan fakta. Itu semua tidak penting, yang penting sekarang akhirnya, selepas setahun menunggu lagi, dia akhirnya dapat bertemu Huda. Pertemuan itu terlalu dinantikannya, seperti seumur hidupnya hanya untuk pertemuan itu, atau seperti dia dilahirkan ke dunia itu adalah semata-mata untuk pertemuan itu. Begitulah pentingnya pertemuan dengan Huda kali ini bagi Jay. Maklumat tentang tempat tinggal Huda telah berjaya ditemui. Lokasinya juga Rahim arif.

Petang itu juga Jay meminta Rahim menghantarnya ke Shinjuku, kemudian Rahim boleh pulang kerana Jay tidak pasti bila dia akan kembali ke rumah. Dia tidak mengatur pertemuan dengan Huda. Dia ingin melihat saja wanita dari jauh. Entah mengapa, Jay sendiri menantikan saat itu, tapi pertemuan itu tapi dia tidak mempunyai kekuatan untuk betemu Huda. Dia ingin melihat saja dari jauh. Itu saja, itu sajalah dulu. Itu sudah cukup untuk meleraikan perasaan rindunya yang cukup hangat sekalipun cuba didinginkan oleh suasana yang semakin sejuk di bawah Nishi Shinjuku.

Sudah lima jam Jay dibelai kesejukan. Duduk menunggu di sebelah walking cross belakang telefon awam memerhati manusia yang keluar masuk dari Nishi Shinjuku. Tidak ada satu bayangpun yang menunjukkan adanya Huda. Matanya liar memerhati. Sesekali dia terbatuk oleh kesejukan dan mungkin dia sudah merasa kelaparan mula bergayut diperutnya. Langit dan persekitaran mulai dibungkus kelam.

Tiba-tiba, dia melihat dari jauh, susuk tubuh yang semacam dikenalinya. Biarpun memakai sweater yang sangat tebal, dia cukup arif dengan ketinggian pemilik susuk tubuh itu, sekalipun keadaan semakin gelap, wajahnya juga Jay sangat kenal. Bagaimana dia boleh melupakan wajah yang setiap hari ada di dalam kepalanya. Jay bangun, nafasnya bagaikan terhenti. Dia mengiringi langkah perempuan itu.

"Huda..." Panggil Jay. Perempuan itu berjalan terus. Huda tidak mendengarnya, entah mengapalah Jay seperti hilang suara, panggilan itu tadi orang yang sejarak satu meter pun tidak dapat mendengar. Debaran di hati Jay membuatkan nafasnya tersekat, sekali dengan suaranya. Seperti terbenam ke dalam.

"Huda," kali ini panggilan itu lebih nyaring. Akhirnya perempuan itu berhenti. Menoleh ke belakang. Langkah Jay juga berhenti, dia memandang tepat kepada wajah perempuan yang berdiri lebih kurang sejauh 10 meter darinya itu.

Huda memejamkan matanya. Ini adalah mimpi. Suara yang dia kenal dan hafal dihatinya itu sedang memanggil-manggil adalah mimpi. Lelaki yang sedang berada beribu batu jauhnya di Malaysia sedang tercegat berdiri di hadapannya adalah mimpi. Semuanya adalah mimpi! Kata hati Huda menafikan. Jay berjalan perlahan menghampiri Huda. Semakin dekat, Huda pula hatinya semakin berdenyut. Begitu juga Jay. Seperti dua kepingan magnet yang telah ditemukan di dalam satu ruang malam yang dingin. Jay menghampirinya lagi. Huda memejamkan matanya. Masih lagi dia tidak mampu untuk menerima kenyataan itu.

'Bukan,' dan sewaktu Huda ingin berjalan laju meninggalkan lelaki yang sedang menghampirinya dengan getaran resah di dada yang bagai pukul gelora. Jay menangkap tangan Huda lalu mendakap tubuh Huda yang dibaluti jaket tebal itu dari belakang. Huda menguak minta Jay meleraikan dakapannya. Matanya sudah mula berkaca. Wanita itu menguak lesu lagi namun tidak berdaya, kerana dakapan Jay terlalu kemas. Ataupun mungkin rontaannya itu tidak cukup kuat, lesu dan lemah kerana rindunya itu terlalu menebal.

"Huda jangan tinggalkan Jay lagi..." Bisik lelaki itu di belakang telinganya.

"Jay,lepaskan..."

"Huda diam! Jay sudah terlalu banyak berdiam sebelum ini, biar sekarang Jay bersuara, Jay nak ceritakan semuanya..." Kemas sekali tangan Jay memagut belakang Huda. Tangan kanannya melingkari pinggang dan tangan kirinya pula kemas mendakap bahu wanita itu. Huda terdiam, dia merasakan setitis hangatnya air mata menitis di belakang lehernya.

"Huda... saya tahu hati yang saya miliki ini bukan lagi milik saya, ia telah mati empat tahun yang lalu. Ini hati awak..." Jay mula bersuara, lembut sekali suaranya, yang berbaur suara sebak seorang lelaki itu, selembut dakapannya juga.

"Saya ingin awak tahu, cinta saya pada awak, melebihi segala-galanya. Saya tinggalkan semuanya untuk awak. Saya datang kesini beribu batu melawan dunia, untuk mengabdikan diri pada cinta awak. Tolonglah terima Jay Huda. Jay tidak ada destinasi lain lagi. Kalau Huda menolak Jay, beerti Jay mati..." Dakapan Jay semakin kemas. Yakin sekali lelaki itu dengan cintanya. Setelah membaca email Huda, setelah menerima hati pemberian wanita itu, sehinggakan di waktu itu juga Jay masih lagi dapat merasakan cinta Huda hanya untuknya.

"Setahun saya menderita mengejar cinta awak, kemudian tiga tahun saya diseksa dengan kerinduan terhadap awak, setahun lagi saya terus menunggu, sehingga saya sampai ke sini. Sehingga saya dapat mendakap memegang tubuh awak buat kali pertamanya sekalipun semua ini seperti mustahil. Demi cinta Jay untuk awak yang hanya satu, demi penantian yang lima tahun saya ini, tolonglah terima Jay, Huda. Setitik lagi titisan menitis di lehernya. Huda merasakan begitu hangat sekali. Kali ini Jay mendakapnya semakin kemas, mukanya dilenturkan ke hadapan, sehinggakan Huda dapat mendengar bunyi degupan jantung lelaki itu, lesu tapi laju. Seperti jantungnya juga.

Tiba-tiba bayangan Rin muncul, begitu juga seorang anak kecil yang nakal bermain di hadapan matanya. Mata anak kecil itu penuh pengharapan sekali. Tangan dan dakapan Jay dileraikan dengan kudrat yang ada. Sumpah, dengan bersaksikan malam yang dingin dan bintang-bintang yang mencahayakan malam itu, Huda terlalu gembira dengan kedatangan Jay. Terharu, rasa jutaan rindu yang terkumpul sepanjang dia menghilangkan diri jauh dari lelaki itu menggunung. Tapi, dia sudah tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan semua halangan yang mendatang. Dia tidak sanggup mengecewakan Rin. Hatinya berbisik, kenapa dia datang ke sini dikala aku sedang berusaha melupakannya, dia mengumpul lagi setiap rasa rindu ini.
Jay meleraikan jua dakapannya. Akur terhadap kerasnya hati Huda.

"Jay, jangan macam ni..."

"Kenapa..."

"Huda dah kahwin, Huda dah bersuami. Kita tak mungkin bersama lagi..." Suara Huda dengan suara yang tersekat-sekat sambil menelan setiap sebaknya mengeluarkan ayat itu di hadapan Jay. Niatnya tiada lain, untuk menghentikan harapan lelaki itu terhadap cintanya, cinta mereka yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Jay terkejut dengan kenyataan Huda, matanya yang berkaca itu memandang Huda dengan sebuah pandangan yang sukar untuk diceritakan.

"Huda tipu!" sangkal Jay. Bergema suara Jay, menyinggahi lorong sunyi Shijoku yang kian dibuai pekatnya malam.

Huda sekadar tertunduk.

"Jangan la kacau Huda lagi, suami Huda ada di atas, kalau dia tahu Jay datang dan peluk Huda macam tadi, masalah besar..." Sambung Huda dengan suara tersekat-sekat. Suara itu tidak cukup untuk meyakinkan Jay.

"Huda tipu," Kata Jay sambil menarik nafas dan mengelap mukanya dengan lengan baju. Matanya merah membendung juraian airmata yang terus menitis. "Huda tunggu Jay kan? Huda kat sini sebab lari dari Jay kan? Tapi Huda masih sayang Jay kan? Huda jangan tipu Jay. Jay tahu hati Huda. Jay dapat rasa!" desah Jay lagi seraya mendongak ke atas, menghalang takungan air mata lelakinya dari terus jatuh kelihatan oleh wanita pujaannya itu.

"Maafkan Huda Jay, Huda balik dulu suami Huda menunggu..." suara Huda buat kali kedua. Jay kian lemah. Kali ini kenyataan kedua itu memaksa Jay untuk percaya, benarlah, mungkin benar, Huda sudah dimiliki insan lain. Jay melutut dan tunduk kebawah. Betul-betul kecewa, kekecewaan yang terlalu seperti yang dapat dilihat di kebanyakan filem yang tragic. Lebur hati Huda melihatnya. Jay betul-betul tidak dapat berfikir. Benarkah kenyataan Huda itu? Atau sengaja untuk menjauhkan diri daripadanya?

Huda melihat Jay yang sudah 'rebah' di hadapannya itu. Huda juga terseksa. Tapi kalau Huda membiarkan diri untuk mengikut kata hatinya bahawa, hatinya ingin mendakap Jay. Hatinya ingin mencurahkan semua aduan rindu yang membungkam sekian lama. Hatinya ingin menceritakan betapa pedihnya setiap saat yang dia lalui setiap kali dia memikirkan Jay yang tidak mungkin mampu dimilikinya. Kalau dia mengikut kata hatinya, sebuah rumahtangga akan hancur. Dia tidak sanggup. Suara hatinya yang tidak menyedari bahawa hakikat sebenarnya Rin sedang bahagia disamping Nazmi suaminya yang dikasihi.

Akhirnya, bersaksikan malam yang kelam, dan sejuk yang masih mendakap persekitaran itu, perlahan-lahan Huda melangkah meninggalkan Jay yang sudahpun bangun dari rebah melutut hiba. Jua bersama angin yang kian dingin dan bintang yang bersinar malap, Jay juga melangkah, membawa hatinya yang luka berdarah mereka berjalan ke dua kutub yang bertentangan.

Lapan langkah perjalanan Huda yang lesu itu, terimbas kembali bayangan seorang lelaki yang mengejar cinta Tuhannya untuk mengejar cintanya. Kemudian muncul lagi setiap jambangan bunga dan setiap baris ayat cinta lelaki itu di ruang fikirannya. Terbayang wajah tulus dan jujur lelaki itu menantinya. Dan bukan bayangan lagi, lelaki yang dikecewakannya itu sedang berjalan membelakanginya dan dia amat pasti bahawa lelaki itu betul-betul lebur dan terluka.

"Jay..." Suara Huda seraya berpaling ke belakang. Terlihat sweater kelabu dan susuk tubuh Jay masih belum lagi hilang di telan malam. Huda berlari kearahnya. Betul-betul berdiri di hadapan Jay. Jay memberhentikan langkahnya. Memandang Huda, pandangannya mewakili sejuta kekecewaan, sejuta pengharapan, sejuta kerinduan, sejuta rasa cinta, dan semuanya ada pada pandangan itu.

"Huda tipu, sebenarnya Huda tak ada suami. Tidak ada siapa yang boleh mengisi ruang kosong dihati Huda! Sampai akhir hayat pun cinta Huda kekal bersama Jay. Biarlah kita menempuh bersama semua halangan ini, Huda sanggup. Biarlah kita menentang satu dunia, Huda sanggup asalkan dapat hidup di samping Jay..." suara Huda yakin di hadapan lelaki yang menghambakan diri untuk cintanya itu. Seolah tidak percaya, tapi itulah yang sebenarnya. Huda menggenggam lengan baju Jay. Menyandarkan dahi di lengan lelaki yang masih terpaku terharu itu.

Jay mendakapknya. "I love you, will you marry me tomorrow, Huda? " bisiknya ke telinga Huda. Dakapannya semakin kemas.

"I love you too, anyting, i will, i will Jay..." Sahut Huda walaupun tidak membalas, dia membiarkan lelaki itu mendakapnya. Tuhan masih lagi ada teguh di hatinya, tetap dia pegang batasan yang seharusnya dia jaga.

Dalam dakapan Jay akhirnya dua hati itu, dua hati yang selama ini cukup terseksa kerana dipisahkan, mengiktirafkan sebuah janji, bahawa mereka seharusnya hidup semati. Bersama sehingga ke akhir hayat. Malam itu bintang yang kabur dan malap sebenarnya semakin bersinar. Perlahan lahan malam merangkak, malam yang akan bercerita tentang indahnya suasana bulan madu sepasang bakal pengantin baru di negara matahari terbit itu...

-TAMAT-


No comments:

Post a Comment