Monday, February 18, 2013

WAKTU-WAKTU YANG DIHARAMKAN SOLAT


WAKTU-WAKTU YANG DIHARAMKAN SOLAT

Sebagai mana dijelaskan oleh para ulama feqh berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW bahawa waktu-waktu tertentu yang ditegah melakukan sembahyang adalah seperti berikut:

1. Bermula dari terbit matahari sehingga matahari naik tinggi kira-kira kadar satu tombak. Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira menyemai dengan lapan belas inci.

2. Waktu Istiwa iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga gelincir matahari atau condong ke bawah. (Kecuali waktu istiwa pada hari Jumaat)

3. Waktu ketika matahari berwarna kekuning-kuningan  sehingga tenggelam keseluruhan bulatan matahari itu di ufuk.

4. Selepas sembahyang fardhu Subuh iaitu bagi orang yang telah menunaikan sembahyang Subuh sehingga terbit matahari.

5. Selepas sembahyang fardhu ‘Asar sehingga terbenamnya matahari.

HIKMAH PENGHARAMAN SOLAT PADA WAKTU BERKENAAN

Waktu ketika matahari terbit, maka terbitnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan, lalu orang kafir bersembahyang untuknya. Waktu ketika matahari tegak (rembang) pula, ketika itulah neraka Jahannam dimarakkan dan pintu-pintunya dibuka dan waktu ketika matahari hendak terbenam, maka terbenamnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan maka orang kafir bersembahyang untuknya. Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadis-hadis Nabi SAW antaranya hadis daripada Abdullah ash-Shunabiji bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Ketika matahari terbit akan disertai oleh syaitan. Jika matahari telah naik, maka syaitan akan meninggalkannya. Apabila  matahari tepat berada di tengah (waktu istiwa) maka syaitan akan menyertainya, tetapi jika matahari telah gelincir, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila matahari hampir terbenam pula, maka syaitan akan menyertainya dan jika matahari telah terbenam, maka syaitan akan menjauhinya. Di waktu-waktu itulah Rasulullah SAW melarang seseorang mengerjakan sembahyang”

WAKTU LAIN YANG DITEGAH UNTUK MENDIRIKAN SOLAT

1.Ketika hendak mendirikan sembahyang fardhu.

Makruh memulakan sembahyang  sunat selepas bilal memulakan iqamah sembahyang, sama ada sembahyang itu sembahyang sunat rawatib, seperti sembahyang sunat Subuh, Zuhur dan lain-lain. Sama ada dia meyakini yang dia akan sempat mendapat satu rakaat bersama-sama imam atau tidak.

2.Ketika Khatib Berada Di Atas Mimbar

Sebaik saja imam duduk di atas mimbar, maka ditegah dan dilarang daripada melakukan sembahyang. Tegahan ini adalah khusus kepada mereka yang telah sedia ada hadir di masjid sedang imam telahpun duduk di atas mimbar.

PENGECUALIAN LARANGAN BERSOLAT PADA HARI/KEADAAN INI.

1.Hari Jumaat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa mengerjakan sembahyang ketika matahari tegak (rembang) adalah makruh tahrim. Bagaimanapun ia dikecualikan pada hari Jumaat. Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis daripada Qatadah daripada Nabi SAW, katanya yang maksudnya:

“Bahawasanya Baginda membenci sembahyang pada tengahari (rembang) kecuali pada hari Jumaat, dan Baginda bersabda: “Sesunguhnya neraka Jahannam dimarakkan (pada saat itu) melainkan pada hari Jumaat”.




2. Tanah Haram Mekah

Mengerjakan apa saja jenis sembahyang di tanah suci Mekah adalah diharuskan tanpa mengira sebarang waktu sekalipun pada waktu yang terlarang. Pendapat ini adalah yang shahih di dalam mazhab Syafi‘ie dan disokong dengan hadis Rasulullah SAW, sabda Baginda yang maksudnya :

“Wahai Bani Abdi Manaf, jangan kamu melarang seseorang tawaf di rumah ini (Baitullah) dan bersembahyang pada bila-bila waktu yang dia sukai, malam atau siang”

No comments:

Post a Comment