'Semoga awak bahagia di sana, Jay...'
Hampa suara hati Huda. Dia teruskan juga hayunan tangannya menekuni steering kereta. Air mata menitis tidak berhenti. Setitik menitis membasahi baju kurung ungunya, setitik dua lagi menitis mengikuti alur pipi turun ke bibirnya dan tumpah membasahi selendangnya. Hangat tapi lesu, waima hatinya pun begitu.
Perlahan-lahan renyai diluar menghaluskan kelopaknya. Yang tinggal cuma titik-titik dan genangan air yang membasahi jalan. Terus meluncur keretanya meninggalkan likuan jalan yang basah, meninggalkan semak hutan, kawasan perkuburan nan merah dan laluan-laluan yang terasa panjang sekali perjalanannya.
"Huda, tapi saya sayangkan awak" Suara Jay dalam nada keras tapi halus.
"Jay, jangan macam ni please!"
Kenapa..." Jay kembali menyandar.
"Tolong berhenti kejar saya, saya tak selesa!" Tegas Huda. Dia sudah begitu muak dan menyampah dengan perlakuan Jay yang dianggapnya begitu mengganggu ketenteraman hidupnnya.
"Tapi saya sukakan awak."
"Itu seribu kali awak sudah bagitau! Saya tahu, tapi awak dah kacau hidup saya! Tolonglah berhenti Jay!"
"Saya tak kacau hidup awak, saya cuma bagi awak bunga dan coklat, supaya awak sukakan saya," sayu suara lelaki itu menerangkan niatnya tanpa berselindung disebalik kata-kata.
"Berhentilah Jay! Perbuatan awak tu akan jadi sia-sia. Kita tidak akan sampai ke mana-mana. Saya tak mungkin akan sukakan awak! Sampai kiamatpun takkan sukakan awak!" sahut Huda tegas. Dia sudah tidak mampu lagi bertahan dengan pujuk rayu lelaki itu yang setiap hari menghantarnya jambangan bunga dan coklat disertai dengan sajak-sajak cinta. Walaupun pada mulanya dia menyukai tindakan itu sebagai tanda perkenalan tapi dia merasakan Jay telah memaksa dia menerima perasaannya! Aiman juga sudah lima kali merajuk dengan kedatangan coklat dan jambangan bunga itu. Apatah lagi apabila membaca sajak-sajak cinta dalam bahasa inggeris yang cukup romantis kiriman Jay. Membara-bara marah si Aiman.
Berkali-kali dia menerangkan kepada Aiman tentang perasaannya yang kosong terhadap Jay. Tentang perasaannya dan cintanya yang sepenuh jiwa dicurahkan kepada Aiman.
"Kenapa..."
"Kerana kita berbeza!" sambung Huda lagi. Kali ini biarlah dia melepaskan semua perasaannya yang berdiam saja dengan rayuan dan fe'el Jay ketika memikatnya selama ini. Biarlah dihari itu, di dalam restoren Kenanga dia menamatkan segala-galanya.
"Memanglah, kerana awak perempuan saya lelaki. Hehehe..." Jay cuba meredakan Huda yang dilihatnya sudah mula naik angin.
"Stop it Jay!"
"Saya sedia convert islam untuk awak Huda. Saya akan tinggalkan semua untuk awak!"
"Kenapa Huda? Jay?"
"Berapa kali saya nak bagitahu, cinta tak perlukan penerangan."
"Jay convert islam sebab Huda kan? Huda tak sanggup memikul tanggungjawab memimpin Jay, Huda perlukan pemimpin! Lelaki yang boleh memimpin Huda, bukan Huda yang perlu memimpinnya!"
"Huda, hidup ini adalah satu proses pembelajaran, saya sanggup belajar, sehingga saya mampu untuk memimpin Huda. Berilah saya peluang untuk belajar mengenali alam kamu dengan wanita yang saya cintai..." Lemah suara Jay dan bergenang titisan yang begitu mahal untuk lelaki di matanya. Bagi Jay mungkin menuturkan ayat itu begitu menyentuh hatinya sendiri.
"Aku sudah ada kekasih Jay! Kau pun tahu kan!" Suara Huda sambil menekan suaranya, tegas tapi masih lagi lembut. Huda nampaknya tidak tersentuh langsung malahan semakin bengang dengan ayat rayuan Jay yang tidak pernah memahami bahawa Jay bukanlah lelaki yang dia mahu dalam hidupnya.
"Jay tahu, tapi setakat kekasih Jay tak hairan. Belum tunang atau isteri orang!" Jay menjawab yakin.
"Hem...." Huda tertunduk sambil memejamkan matanya. Jay memerhati tindak-tanduk Huda yang dicintainya itu dengan teliti.
'Gadis ayu, seandainya kau tahu betapanya dalam cintaku ini, mungkin kau tidak akan membuat aku begini. Jatuh maruahku sebagai lelaki kau heret dalam situasi begini, demi cinta mu dan cintaku kepada Tuhan pencipta gadis seindahmu, aku memaafkan setiap detik ini' Suara Jay dalam hatinya merenung wajah bengang Huda di hadapannya.
Keadaan diam seketika.
"Kalau benar Aiman lelaki awak, kenapa dia tidak masuk meminang, kenapa dia tak mengikat awak? Agar tidak ada lelaki yang bukan taste awak, lelaki yang macam saya mengganggu awak." Jay cuba menguji Huda yang seolah sudah kehilangan idea di hadapannya. Itulah persoalan yang selama ini berpagut dihati Jay selama ini. Daripada dia diseksa oleh cinta Huda, biarlah Huda berkahwin atau bertunang, dapatlah dia mengubat hatinya dengan alasan yang releven bahawa dia harus undur dan berhenti.
"Kalau saya jadi Aiman, kalau awak menerima saya, saya akan masuk meminang dan mengahwini awak terus" sambung Jay sambil tertunduk memerhati meja menyembunyikan hati lelakinya yang sayu melihat makanan dan minuman yang tidak terusik. Kedua-dua mereka seolah tidak berselera. Betapa gembiranya dan taksubnya Jay bila kali pertama dalam hidup dan penantiannya Huda mengajaknya keluar makan, namun rupa-rupanya pelawaan Huda itu bukan untuk mengenali Jay lebih jauh, sebaliknya cuba untuk membunuh cinta Jay yang besar, sebesar langit untuknya!
"Huh Aiman? kami belum bersedia! Bukan macam sesetengah orang, bila jatuh cinta, belum cukup mengenali atau bersedia, sudah nak berkahwin. Itu cinta nafsu!" Huda mempertahankan Aiman sambil menyindir Jay. Dia berharap dengan ayatnya itu Jay terus berhenti 'menyeksanya'.
"Itu bukan nafsu, saya cuma ingin hidup disamping orang yang saya cintai secara halal" Jay mempertahankan cintanya lagi. Dia tidak sangka begitu berat sekali tuduhan Huda terhadap cintanya selama ini.
Hahahaha halalll... Huda tergelak di dalam hatinya sambil bibirnya menguntumkan senyum pahit yang cukup sinis. Tahu juga budak cina ini menyebut perkataan halal. Mana agaknya dia belajar, soalnya sendiri.
Petang itu agak cerah dan damai. Di luar tadi angin bertiup santun. Burung yang berkicau pun bunyinya enak. Di pejabatnya Huda menyandar menikmati ketengangan yang sudah dirinduinya sejak tiga bulan yang lalu. Sudah dua hari tiada jambangan bunga, tiada lagi coklat yang sudah mula menjemukan. Tiada lagi sajak cinta bodoh dari Jay! Damainya, Huda bersyukur dalam hati. Tindakannya mengajak Jay keluar malam itu memang tepat. Huda mengagumi kebijaksanaannya sendiri, membebaskan dia dari detik-detik yang derita sewaktu Jay yang merimaskan itu mengejarnya.
"Tadi Ching telefon aku, dia kata semalam semasa Jay balik dari kerja, dia tengok Jay menangis, kenapa tu Huda?" Rin adalah teman sepejabat Huda. Chin, adik perempuan Jay itu pula adalah kawan Rin semasa di university dulu. Sampai sekarang mereka masih lagi rapat, sama seperti rapatnya Huda dengan Rin.
"Hah, menangis? Iee, lelaki apa menangis macam tu!" Sambung Huda memperli betapa lemahnya Jay. Dan kadang-kadang terbit juga rasa bangga dihatinya mungkin kecantikannya itu membuatkan Jay jadi gila bayang. Sampaikan lelaki sejati macam Jay boleh menangis.
"Lah, kerasnya hati kau Huda! Kalaulah ada lelaki yang sanggup menangis macam tu untuk aku..."
"Kalau ada kenapa?"
"Ntah!" Sahut Rin kebosanan. Diam memahami keras hati sahabatnya itu memang tidak bisa dileburkan dengan apa-apa larutan sekalipun! Bertingkah dengan Huda tentang perkara itu cuma membuang masanya saja. Rin, sahabatnya itulah yang selama ini menjadi saksi melihat jambangan bunga yang datang setiap hari dan juga 'teman pemakan coklat' bingkisan Jay. Rin jugalah yang bersama-sama Huda tergelak dengan ayat-ayat jiwang Jay melalui kad cintanya.
"Itulah kau Rin! Muka cantik, peminat keliling pinggang. Tapi tetap takda pakwe! Tapi cakap orang pandai"
"Hahahahaha..."
"Kau nak pakwe macam mana Rin? Kau nak putera turun dari langit? Meluncur melalui pelangi? Hehehehe..." gurau Huda seraya juga dia menyoal. Hairan juga dihatinya melihat keadaan Rin yang masih lagi tidak mempunyai kekasih, walhal sahabatnya itu cantik juga. Malah mungkin lebih cantik Huda sendiri. Namun Huda dan semua orang mengerti, Rin cukup skeema kalau melibatkan hal-hal begitu. Pegangan agamanya cukup kuat, keluarga Rin adalah keluarga yang cukup berpegang teguh kepada ajaran agama. Rin begitu terjaga dan terpelihara.
"Kalau kau nampak aku berpakwa nanti, tandanya lelaki itu lah the best, aku inginkan seorang lelaki yang boleh menyentuh perasaan dan berprestasi untuk membahagiakan aku"
"Ek eleh, cerewet..."
'Huda, saya memohon maaf sekiranya kedatangan email dari saya ini membuatkan awak merasa tergugat dan terganggu. Janganlah awak menyangka saya kembali menganggu awak. Sudah dua bulan saya tidak hadir dalam hidup awak. Semalam saya terkejut dengar cerita dari Chin bahawa Aiman menduakan awak dan akan berkahwin dengan orang lain. Saya begitu marah, kenapa lelaki itu, lelaki yang awak pertahankan selama ini sanggup buat begitu. Kerana Aiman juga saya mengalah, saya membiarkan air mata jantan saya menitis kerana rindukan awak. Saya rindu sungguh untuk menghantar jambangan bunga kepada awak, saya rindu untuk bergegas keluar dari pejabat setiap hari untuk memilih coklat yang terbaik untuk awak, dan saya bersekang mata lambat tidur setiap malam hanya untuk menghasilkan sajak cinta untuk awak. Demi maruah saya sebagai lelaki, saya menangis bukan sebab cinta saya ditolak, tapi saya rindukan semua saat tu, awak tak rindukan saya Huda?
Di email terakhir ini, saya memohon maaf, kerana tidak mampu untuk setia lagi terhadap cinta saya kepada awak. Saya bukan berpaling, sumpah. Cinta yang saya agung-agungkan, ayat puisi cinta saya yang saya kata abadi untuk awak itu bukan saja saya reka, kemudian senang saja saya mungkiri. Bukan. Tapi saya belajar bahawa seseorang itu harus menerima takdir. Apa yang sudah tertulis, itulah yang harus diterimanya. Redha. Saya percaya, dunia ini penuh dengan cinta, begitu juga awak saya tidak ingin awak berputus asa dengan cinta Aiman. Saya merasai apa yang awak rasa sekarang, seperti hati saya dahulu begitulah ia. Bukan, saya bukan memulangkan paku keras kepada awak Huda, saya cuma ingin kan awak menjadi teguh, seteguh saya. Bahawa Huda, saya bukan menyembah Tuhan kamu yang agung itu kerana kamu, tapi kerana jiwa saya sudah ke situ. Sekarang, tuhan yang menciptakan kamu itu, itulah tuhan saya dan saya yakin bahawa tidak ada tuhan yang lain lagi selain DIA. Walaupun cinta awak tidak lagi dapat saya capai, ada satu lagi cinta yang sejati, itulah tujuan kehidupan saya sekarang.
Tabahlah, Huda. Tabahlah Huda. Jangan biarkan cinta menyeksa awak, okey? Kerana ketabahan awak dan keikhlasan hati awak, tuhan kita akan memberikan awak sesuatu yang lebih baik pada masa yang akan datang. Awak yakin dan percayalah tentang ini.
Oh ya, saya kira awak sudah dapat kad dari saya. Kad cinta terakhir itu mungkin sampai semalam bukan? Rin dah bagi kat awak? Saya berharap awak akan berjumpa juga dengan cinta sejati awak.
Salam hormat,
Muhammad Jay Abdullah.
Kereta Huda masih lagi meluncur, habis melintas sebuah perkampungan ini sampailah dia kerumah Haji Basri. Rumah sahabatnya Rin. Air mata Huda menitis lagi. Mungkin dia tidak akan menemui lagi cinta yang lebih luhur dari cinta lelaki bernama Jay. Tapi waktu itu dia buta, cinta yang samar-samar dari lelaki yang kini hanyut dengan cinta bersama gadis lain menutup hatinya untuk dicintai lelaki yang sebenarnya layak untuk cintanya. Tapi dia terlewat, dia terlewat untuk menyedarinya. Dia cuma mampu mendoakan kebahagiaan lelaki itu disisi cinta barunya. Sesunggunya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang dialah yang maha mengetahui dan mencatur segala isi alam.
Dari jauh sudah kelihatan lapan buah kemah hijau bersusun-susun di hadapan rumah Haji Basri. Huda memberhentikan keretanya di sebelah pokok bunga siantan. Dia melihat pada cermin kereta, membetulkan selendangnya, mengelap sisa airmata penyesalannya yang masih berbekas, menyapu bedak dan melayarkan kembali gincu ke bibirnya untuk menerbitkan wajah gembira dan bersemangat menyembunyikan tangisanya sepanjang jalan itu.
Sebelum keluar dari kereta, dia mencapai sebungkus hadiah sederhana besar dari tempat duduk belakang. Hadiah yang dipermukaannya tertulis 'Selamat pengantin baru Rin & Jay, Semoga kekal hingga ke akhir hayat...'






No comments:
Post a Comment