Thursday, July 12, 2012

Email Terakhir Jay II



EMAIL TERAKHIR JAY [ CHAPTER II ]
Karya, Ummy N.M, Noormasjid.


Dua buah ambulan sampai di perkarangan hospital. Bunyi sirennya galak sekali memungkinkan betapa dahsyatnya keadaan manusia yang berada di perut ambulan itu. Pegawai perubatan berlarian memunggah lima batang jasad yang kritikal ke katil beroda. Badan mereka bersimbah darah. Lalu mereka ditolak oleh kira-kira tiga orang attendence dan seorang jururawat. Dari sebuah kereta lain yang mengiringi ambulan itu, Rin keluar dengan pakaian pengantin yang indah, wajahnya mewakili sejuta kejutan dan ketakutan. Haji Basri dan Halim yang berbaju melayu dan bersongket itu turut keluar dari kereta itu kaget sekali. Belakang mereka disimbahi peluh yang lebat.

Sebuah kereta turut meluru laju ke hospital itu, kereta Huda! Dia turut berlarian kaget mendapatkan Rin. Lantas keduanya mengiringi katil-katil beroda itu tanpa bercakap sepatahpun. Jasad yang terakhir dipunggah ialah Ching! Keadannya cukup lemah, darah membuak keluar khususnya di bahagian kaki. Ching tak berhenti mengaduh lesu dan menangis. Mukanya pucat. Rin turut mengiringi Ching masuk ke dalam. Sempat dia berkata, sesuatu kepada Ching agar Ching kuat semangat dan bersabar.

Jay, mana Jay! Mereka masih tidak menemui Jay. Itu yang merunsingkan. Mungkinkah Jay telah dibawa masuk ke dalam hospital ketika kereta baru sampai dulu? Haji Basri dan Halim sudah sampai di dalam bilik kecemasan. Rin dan Huda saja yang masih terpinga di luar, mungkin mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana terlalu takut untuk menghadapi kemungkinan di dalam bilik kecemasan itu.

"Ayah, mana Jay!" Rin berlari mendapatkan Haji Basri yang sudahpun berada di luar bilik kecemasan.

"Jay di dalam, sabarlah Adik..." Jawab Haji Basri tenang.

"Ya Allah... Rin nak jumpa dia ayah! Rin nak jumpa Jay!"

"Adik, sabar. Ramai yang masih di dalam tu, jangan menggangu tugas doktor..."

Rin menangis sekuat hati di luar pintu bilik kecemasan itu. Dari jauh kelihatan puluhan ahli keluarga Haji Basri telahpun sampai dari perkarangan hospital. Semuanya masih lengkap berbaju kurung dan berbaju melayu. Seharusnya mereka sedang bergembira di majlis perkahwinan Jay dan Rin, sebaliknya tiada siapa menyangka malang akan terjadi sebegitu.

Ramai mereka yang berada di situ bertanya di mana dan bagaimana kemalangan itu boleh terjadi. Bagaimana keadaan mereka yang terlibat. Siapa lagi yang terlibat selain Jay, sang pengantin lelaki. Maka terdengarlah desas-desus bahawa mereka yang terlibat adalah adik pengantin lelaki, Chin dan juga ayah Jay. Kemalangan yang terjadi semasa perjalanan menuju ke rumah pengantin perempuan itu tercetus disebabkan kereta mereka telah berlanggar dengan lori perabut. Mungkin kerana jalan yang licin kerana baru lepas hujan.

Sudah sejam berlalu, doktor masih lagi berusaha bermati-matian di bilik kecemasan, melakukan apa yang patut untuk menyelamatkan mangsa. Rin pula menyandar lemah di sisi Ibunya, di kerusi menunggu. Ramai mereka yang datang kearah Rin, memberi kata-kata semangat dan meminta supaya Rin bersabar. Mereka semua menenangkan Rin, namun tak siapa tahu, bahawa ada sekeping hati lagi yang terlalu hancur disaat itu.

Huda. Dia menyembunyikan sebak tangis dihatinya. Seksanya jiwa Huda sewaktu itu, menahan air mata yang seharusnya lebat dari mengalir keluar. Dia duduk di sebelah Rin dan ibunya, sesekali dia menenangkan Rin walaupun hakikat sebenarnya dia sedang cuba menenangkan hatinya sendiri...

Keadaan mula lengang di luar pintu bilik kecemasan itu kerana kebanyakan sanak-saudara Haji Basri sudah beransur pulang setelah dua jam terpacak menunggu di luar.

"Aku terlalu sayangkan Jay, Huda..."

"Aku tahu Rin," sahut Huda akur.

"Rin ingin hidup bersamanya sehingga akhir hayat Rin, dia baik sangat Huda!" suara Rin sayu dalam tangisan sambil menggenggam rapat tangan Huda. Genggaman yang kuat mewakili seribu ketakutan menghadapi apa-apa kemungkinan itu. Sejuk sekali jemari Rin waktu itu.

"Tabahlah Rin..." itu saja yang mampu tercetus keluar daripada mulut Huda yang berkecamuk. Hatinya turut terseksa, tak siapa tahu. Jiwanya turut dihambat nestafa tak siapa tahu. Kalau Rin boleh lega dengan meluahkan semuanya kepada dunia, Huda yang memendam dukanya itu bagaimana? Bagaimana?

"Rin tunggu dulu ye, Huda nak ambil barang di kereta sekejap..." suara Huda seraya melepaskan genggaman tangan sahabatnya itu perlahan-lahan. Tanpa di sedari, Rin telahpun lena menyandar di riba ibunya. Mungkin terlalu letih dengan renyai airmata yang tidak terhenti keluar selama hampir tiga jam!

Hujan mulai mencurah lagi. Di dalam keretanya, Huda mencapai laptop mini berwarna putih miliknya. Mungkin itulah cara yang terbaik untuk dia meluahkan semuanya, luahan yang tidak bisa didengar oleh semua orang. Luahan yang boleh meringankan beban fikirannya waktu itu. Dan perlahan-lahan jemarinya menaip....

' Hai Jay, sebulan yang lepas awak pernah mengutus email kepada saya, tapi saya tidak membalasnya. Adakah awak menunggu balasan email Huda Jay? Maafkan Huda Jay, sudah pasti awak menunggunya bukan. Sekali lagi, gadis bodoh ini menghampakan awak, maafkan saya Jay. Jay, bukan Huda tidak mahu membalas email Jay. Percayalah Jay, email daripada awak Huda baca berulang-ulang. Mungkin lebih dari 50 kali. Huda mengagumi setiap baris ayat awak di dalamnya. Jiwa Huda meronta-ronta untuk membalasnya. Tapi seolah ada sesuatu menyekat Huda. Mungkin kerana Huda ego dan terlalu keras hati atau mungkin kerana kad jemputan perkahwinan Jay dan Rin tersisip rapi di sebelah meja kerja Huda...

Sekarang Jay, biarlah Huda menjelaskan hakikat yang menyeksa jiwa Huda selama ini. Telahan Jay tentang Aiman meninggalkan Huda adalah tidak tepat. Dan dia berkahwin dengan gadis yang tidak dicintainya kerana dia katakan kepada Huda dia akan berkahwin dengan sesiapa sahaja selepas ini. Dia kini membenci Huda Jay. Ini kerana Huda sendiri meminta Aiman melepaskan Huda.

Sebenarnya ini yang berlaku Jay, dua tiga hari selepas Huda tidak menerima jambangan bunga, coklat dan ayat-ayat cinta daripada Jay, huda gembira. Huda ingatkan Huda mampu hidup bahagia dengan ceria tanpa hadirnya itu semua. Tapi Jay, selepas seminggu Huda mulai merindui Jay. Rindu yang teramat sangat, tapi Huda biarkan perasaan itu. Setelah dua tiga minggu tanpa pemberian-pemberian cinta dari Jay, Huda mula hilang arah. Huda gelisah, Huda sering menangis sendirian apabila membaca kembali kad-kad cinta kiriman Jay yang masih Huda simpan sehingga kini. Sehinggakan Huda kurang berminat dengan hubungan cinta Huda dan Aiman. Bermacam alasan Huda berikan kepada Aiman supaya kami tidak keluar bersama.

Selepas itu Huda menyedari bahawa... Jay... Bahawa, Huda sebenarnya sudah jatuh cinta kepada Jay. Percayalah Jay, hati perempuan sangat lembut dan mudah tersentuh. Kalau hati lelaki cepat berubah dan terpikat oleh sesuatu, begitu juga dengan perempuan. Kami juga manusia yang dikurniakan Allah dengan hati yang bukan hati malaikat. Huda sudah tenggelam dan terpikat dalam dunia cinta Jay tanpa Jay sedar, tapi kerana egonya Huda yang lemah ini, Huda biarkan saja rindu ini memukul-mukul di jiwa. Sehinggakan hari itu Huda menerima email yang Jay namakan email terakhir Jay. Huda terkejut, taksubnya Huda membuka email itu, kerana Huda menyangka Jay ingin mencari Huda semula dan menyambung kembali perasaan Jay terhadap Huda.

Tapi Huda salah, Jay memang lelaki sempurna yang begitu menepati janjinya. Walaupun kedatangan email Jay hari itu cukup memeritkan jiwa kerana cinta Huda yang terpendam selama ini dinafikan, tapi Huda terima setiap ayat dah kata-kata ketabahan untuk Huda di dalamnya. Apa daya Huda untuk menyelamatkan perasaan kita apabila email itu datangnya serentak dengan kedatangan kad jemputan perkahwinanmu dengan Rin. Hancur hati Huda tapi tak siapa yang mengetahuinya. Sekarang Huda mengerti tentang hidup, kita tidak boleh terlewat, walaupun seminggu, walaupun sebulan. Cinta yang terlewat diucapkan dan dirasai boleh membunuh hati sendiri menjadi sepi...

Jay, sekarang Jay sedang bertarung dengan nyawa, demi perasaan cinta Huda yang dilahirkan Allah untuk Jay, kalaulah sebahagian daripada umur Huda dapat Huda bahagikan kepada Jay, Huda sanggup walaupun sebahagian nyawa Huda itu Jay akan habiskan dengan wanita lain kerana wanita itu adalah wanita sebaik Rin. Cepatlah pulih Jay. Kerumitan doktor-doktor di bilik sana mengambarkan betapa sakitkan keadaan Jay di sana. Jangan mati Jay. Mungkin semua sedang menipu diri bahawa Jay tidak bertarung dengan kematian. Tapi sebenarnya hakikat, kami takut! Jay, tabahlah Jay, tabahlah. Ya Allah, airmata yang turun semasa menaip email untuk Jay ini menjadi saksi bahawa sayang Huda kepada Jay. Cepatlah sedar Jay.

Huda."


*Sat,huhuhu... sebelum terus membaca cerpen ni, sila klik DI SINI sebentar dan dengar music INI sambil terus membaca, untuk ambik mood cerita ni. Sorry menggangu, teruskan membaca...

Di dalam kereta Huda menangis sekuat hatinya. Tangisan yang dipendamnya sejak dari tadi. Tangisan yang ditahan dan dibendung itu cukup menyeksakan. Di dalam kereta itu Huda meraung dan mengeluh. Menderita! Jiwanya kecamuk. Jay jangan mati! Ataupun dia akan merasa bersalah dan rugi seumur hidupnya. Huda meraung lagi sehingga lupakan apa itu kesabaran. Ya Allah, dugaan ini sungguh menguji imanku. Ampunkan aku ya Allah, suara huda di dalam hatinya setelah tersedar dari perasaannya itu.

Sekali lagi dia mengelap sisa tangisannya. Selesai mengattach email tersebut dia menutup laptopnya. Keluar dari kereta untuk mendapatkan Rin dan mendengar perkembangan terbaru Jay.

Sampai sahaja di ruang menunggu luar bilik kecemasan, Huda mendapati Rin dan keluarganya sudah tiada di situ. Dia bertanya dengan pegawai yang bertugas, pegawai itu memberitahu bahawa mangsa kemalangan telah dipindahkan ke wad Intensive Care Unit(ICU) Huda berlari kecil, terdengar bunyi keletap-keletup kasut tumit tingginya memecah bunyi lantai marmar hospital dirembang petang yang berhujan renyai itu...

Di luar bilik itu dia melihat abang Rin, Halim menunggu. Mata Halim mendung menahan sebak.

"Kenapa abang Halim, Jay? Ching?", tanya Huda dengan suara yang tersekat-sekat.

"Ching cuma patah kaki, tapi Jay..." suara Halim seolah mengecil. Tidak sanggup meruskan ayat pahit yang menyebut tentang kenyataan.

"Kenapa Jay abang Halim...?" tanya Huda lagi, kebingungan.

"Doktor minta kami sekeluarga perlu bersiap dengan pemergian Jay. Jay cuma menunggu waktu, dia mengalami kerosakan hati. Hatinya hancur teruk... Tu dia ada di dalam, jumpalah dia takut tak sempat..." sambung Halim dengan nada sedih.

"Ya Tuhan..." Lemah segala urat saraf Huda, hatinya bagai dihempas dan dibalun. Jay akan mati? Huda sudah lebur, jiwanya hancur dan luluh. Perlahan Huda melangkah ke hadapan pintu bilik yang menempatkan Jay. Ingin dia menggengam tangan Jay dan menceritakan tentang hatinya. Ingin dia meluahkan semua rasanya terhadap Jay. Huda membuka pintu itu tapi, dia menutupnya kembali. Tidak. Di sisi Jay ada Rin, seorang wanita yang layak disamping Jay, langkah Huda terhenti di situ. Air matanya hendak jatuh, menakung. Sekarang takungan itu sudah jatuh lagi! Tubuhnya layu. Dia tidak mampu melangkah lagi, melihat genggaman tangan Rin yang masih diwarnai cerahnya inai itu kukuh sekali dijari lesu Jay yang mungkin sedang bertarung dengan nyawanya.

Huda mengintai dari luar, memerhati dari cermin pintu bilik, tubuh Jay yang terlantar di atas katil. Lelaki yang selama ini membuatkannya tersenyum, sudah kaku di atas katil. Lelaki yang selama ini tabah mengganggunya, menagih cintanya kini lemah tidak berdaya dan menunggu tuhan mengambilnya dari mereka yang menyayangi. Mulutnya ditutupi topeng oksigen, hanya matanya yang kelihatan. Tapi entah mengapa, walaupun dibatasi pintu biru yang kukuh, dan dihalangi sebuah cermin yang kabur, Huda melihat mata Jay sedang merenung kearahnya. Walaupun dibatasi oleh pintu biru yang kukuh, dan dihalangi sebuah cermin yang kabur, Huda dapat melihat setitis genangan air yang jernih, berkilau, jatuh mengalir dari anak mata lelaki lesu yang sedang merenungnya itu...


No comments:

Post a Comment