Thursday, July 12, 2012

Email Terakhir Jay III


EMAIL TERAKHIR JAY [ CHAPTER III ]
Karya, Ummy H.M, Noormasjid

Ai-Ai berlari mengejar buih-buih yang beterbangan. Setiap buih yang tercetus ditangkapnya lalu dipecahkan dengan jari. Lembut sekali jemarinya ketika menjentik buih-buih yang terhasil dari permainan tiupan buih yang baru dibelinya itu.

"Tiup lagi papa..." desak Ai-Ai.

"Ok! Ok sayang...papa tiup lah ni!" Termengah-mengah Jay menghembuskan nafasnya meniup permainan buih itu agar buih-buih yang tercetus dapat di tangkap oleh A\i-Ai kesayangannya itu. Anak kecil itu terlalu dimanjakan. Segala yang diinginkan pantang ditolak. Kalau tidak alamat kiamatlah muka bumi ini dengan suara rengekan dan hentakan kakinya. Aduh, bagaikan kaki yang comel si kecil itu boleh menggoncang dunia.

Seperti biasa, sebagai seorang lelaki yang amat penyayang, Jay melayan karenah anak kecil itu tanpa membantah. Akur dan menurut saja. Sayangnya kepada si kecil yang comel berusia empat tahun itu, si kecil itulah 'teman' nya yang paling rapat.

"Mama...!" Suara kecil yang manja itu begitu ceria ketika melihat kehadiran Rin. Dikala anak kecil itu berlari untuk mendapatkan mamanya itu Jay menangkap punggung si kecil itu, mendukung dan membelitkan badannya ke leher Jay. Ai-Ai terjerit manja.

"Hahahaha... sayang pipi papa dulu," kata Jay ketika menyidaikan budak lelaki comel itu dibahunya. Lentur tubuh si-kecil itu. Kemudian di peluknya anak itu. Dicium-ciumnya bertubi-tubi. Si kecil menolak mukanya dan meronta-ronta. Manja sekali!

"Nanak!... Nak mama...!" si kecil merengek-rengek minta dilepaskan.

"Okey,okey... pegi dekat mama..." ikut Jay lembut seraya menurunkan kembali si kecil kesayangannya itu dari dakapannya. Si kecil berlari mendapatkan mamanya dan duduk diriba mamanya yang telah pun duduk di bangku laman.

"Papa, ada berita gembira!" Suara Rin sewaktu meletakkan Ai-Ai diribanya.

"Kenapa ma?" soal Jay ingin tahu.

"Huda, dia akan pulang ke Malaysia..."

"Oh..." Jay bersahaja, namun dihatinya terlalu gembira. Rindunya dia terhadap Huda, tiga tahun tidak bertemu, cukup untuk membuatkan setiap cebisan rindu Jay kepada Huda menjadi setinggi gunung.

"Siapa bagitahu," tanya Jay lagi.

"Dia sendiri lah. Mama pun terkejut dia tiba-tiba menghubungi office semalam..."

"Tiga tahun tak jumpa dia, selepas hari papa accident tu, dia terus hilang. Tup-tup dengar dari Wice dia sedang belajar di Tokyo..."sambung Rin lagi.

"Hem..." Jay terdiam seolah mengelamun tentang sesuatu. "Dia balik bercuti ke atau balik terus?"

"Itu mama tak pasti la papa," Jawab Rin sambil menyapu-nyapu dahi Ai-Ai dengan tangannya, menyeka peluh di dahi anak kecil yang ligat bermain itu. Huda, setiap kali melihat bunga, muncullah bayangan Huda. Setiap kali Ai-Ai merengek meminta coklat, muncullah Huda. Di segenap pelusuk rumah, di dalam kereta, di tepi jalan, di sana ada Huda. Haruskah Jay berfikiran begitu? Jay tunduk sendiri, cuba menafikan perasaan yang masih berkembang di benua hatinya.

"Oh, siapa hantar mama tadi?..." Jay seolah ingin menukar perbualan. Dia tidak mahu terus hanyut dengan bayangan Huda. Makin sakit dan keliru jiwanya pabila Huda menjelma bagi bayang-bayang muncul di setiap ruang yang bercahaya. Bayang itu, apabila hendak disentuh, ia tiada. Begitulah wujudnya Huda dalam tiga tahun itu. Kelemasan Jay dibuatnya.

"Nazmi yang hantar tadi. Papa, esok kita sama-sama jumpa Huda okey pa?" ajak Rin sambil menepuk-nepuk belakang Ai-Ai. Ai-Ai menyandar rapi di rusuknya.

Jay sekadar mengangguk. Hatinya cuba membayangkan wajah Huda. Tiga tahun wajah itu hilang namun setiap lekuk dan garisannya tetap terpahat di lembangan hati Jay. Tidak pernah terusik dan luak walau sedikitpun. Bagi Rin pula itulah saat yang gembira dinantikan dalam masa tiga tahun itu. Sudah lama Rin menunggu pulangnya sahabatnya itu. Tidak berhenti dia berdoa agar Huda kembali dan mereka dapat berjumpa dia. Itu doa Rin, sekali seumur hidup pun jadilah. Asalkan Al-Rahman memperkenankan hajatnya untuk bersua muka dengan Huda, berkongsi cerita suka duka kehidupan seperti masa-masa yang lalu.

"Mama tiuplah buih!" tiba-tiba si Ai-Ai meloncat-loncat di riba Rin, seorang raja kecil sudah mengeluarkan titah! Fikiran dan ingatan Jay dan Rin yang mengapung diudara turut terpecah bagai buih dek titah anak kecil yang nakal itu.

"Ai...Ai... sudah jangan loncat macam tu, sian adik kat dalam perut mama tu..." nasihat Jay ketika anak kecil itu meronta ronta diriba Rin menyuruhnya meniupkan permainan itu.

"Bak sini... biar papa tiupkan!" ujar Jay sambil duduk mencangkung membelakangi anak kecil dan mamanya itu. Seperti sudah biasa Ai-Ai melompat ke belakang Jay. Kedua-duanya bersorak gembira bermain buih di tengah laman.

Hujan turun, langit berarak mega dari timur. Burung-burung yang memagut wayar elektrik di angkasa sudahpun diam disarang. kenapa hujan turun? Mungkinkah hujan yang merakam memori pahit tiga tahun yang lalu muncul kembali dihari pertemuan tiga sahabat itu? 'Renyai juga. Seperti renyai tiga tahun yang lalu,' Bisik hati Jay ketika keluar melangkah dari kereta menuju ke Restoren Kenanga. Kenapa Restoren Kenanga juga yang dipilih oleh Huda pada hari pertemuan itu. Entahlah, misteri. Hanya Huda sendiri yang tahu.

Ketika hendak masuk ke dalam restoren itu Ai-Ai merengek minta didukung. Jay mendukungnya. Rin mengiringinya di sebelah. Ketika mereka sampai, tempat duduk bahagian paling tepi yang telah di janjikan sebagai medan untuk mereka berjumpa di restoren Kenanga itu masih kosong. Ternyata Huda belum sampai.

Kenapa Huda belum sampai, suara Jay kesal. Alangkah baiknya kalau Huda yang sampai dulu, agar aku tidak diseksa dengan debaran hatiku ini, gelisah jiwaku ini menanti bertemunya.

"Tu Huda...!" suara Rin sambil melambai-lambaikan tangannya kepada seorang wanita yang bertudung hitam, berbaju coklat muda yang baru masuk ke pintu hadapan restorenn itu.

Huda menghampiri meja mereka, tersenyum tenang. Rin bangun, kedua sahabat itu saing berdakapan, terimbas kembali seperti satu video pendek, segala suka-duka memori sepanjang mereka bersahabat, tergambar bagai baru semalam semuanya berlalu. Jay cuma melihatnya dan mengamati wajah yang terlalu dirinduinya selama ini. Huda, jelas sekali, tiada apa yang berubah padanya selain kulitnya yang lebih cerah dan putih dan tubuhnya yang sedikit kurus berbanding dahulu. Itu saja, selain itu, Huda masih Huda yang dulu, suara Jay dalam hati ketika pertama kali melihat Huda selepas tiga tahun dia memendam rindunya. Selesai berdakapan dan bersalaman, Rin mempelawa Huda duduk. Percaya atau tidak, bagai dirancang, atau apalah yang sebenarnya terjadi, kerusi itu letaknya betul-betul di sebelah kerusi Jay. Mereka duduk selari, kerana anak kecil bernama Ai-Ai itu memonopoli dua lagi kerusi dengan permainannya yang entah apa.

"Huda apa khabar,' tanya Rin.

"Alhamdulillah, sihat..." sahut Huda. Jay duduk diam saja di sebelahnya, seperti sedang memendam sesuatu.

"Huda di Jepun selama ini...?" ujar Rin inginkan kepastian lagi tentang lokasi tempat Huda menjalankan kehidupannya selama ini.

"Ha-ah..." Huda mengangguk lagi.

Sedang sahabat yang baru mahu sebati kembali bercakap beberapa patah saja perkataan itu Wice pula sudah tiba lalu terus duduk bersama mereka berempat. Semacam satu reunion diatur yang menemukan ke-empat sahabat itu, waima Wice yang selama ini berada di Malaysia pun baru berkesempatan bertemu mereka pada hari itu.

Tiba tiba saja kedengaran suara seorang anak kecil merengek, "Papa! Nak balik!" Suara Ai-Ai. Mungkin kanak-kanak itu sudah mula bosan dan ingin keluar dari restoren itu. Ai-Ai mencemikkan mukanya. Muka kebosanan.

Huda menoleh di sebelah, menoleh lelaki yang dipanggil papa oleh anak kecil itu. Jay membalas pandanganya, matanya bersinar, luhur sekali, seperti banyak sekali perkara yang ingin diceritakan.

Huda sekadar tersenyum. Memerhati gelagat anak kecil nakal di hadapan mereka.

"Mama, nak balik! Waaaa..." Sudah, Ai-Ai bertitah kepada Rin pula. Huda tunduk akur. Panggilan mama dan papa oleh anak kecil itu pada Rin dan Jay cukup untuk menggoncangkan hatinya.

"Happy family..." Kata Wice, sambil tersenyum. Tiba-tiba pandanganya mengalur ke wajah Huda, masih redup wajahnya, seperti luka dalam gembira, seperti masih berbekas cemburu dan sayangnya terhadap lelaki bernama Jay itu. Wice tunduk, dia yang banyak mengetahui rahsia Huda itu seperti dapat meresapi perasaan Huda.

"Kenapa Huda tinggalkan Rin, tak bagitau pun... Lepas malam tu Huda hilang, at least nak ke jepun bagitaulah kami, dapat kami hantar dan ucap selamat tinggal," adu Rin kecewa dengan sikap sahabat setianya itu.

"Huda balik terus, lama ke di sini?"

"Tak lah, Huda balik esok..."

Jay masih terdiam dan tidak ada sepatah perkataanpun keluar dari mulutnya pada waktu itu.

"Kenapa perlu jauh sangat macam tu Huda?"

"Tak apalah Rin, walaupun aku jauh, ke luar galaxy sekalipun, hati aku tetap di sini..." kata Huda. Jay masih lagi terdiam dan tunduk membisu.

'Tidak ada sepatahpun, kenapa dia tidak bersuara? Aku amat merindui untuk mendengar suaranya, melihat wajahnya sudah, aku perlu mendengar suara lelaki itu, aku sangat merindui suara itu. Sekali pun cukuplah, akan ku bawa suara itu merentasi benua pulang ke Tokyo dan tak akan kembali lagi ke Malaysia. Biarlah aku simpan suaranya, di sini, di celah ruang ingatanku' rintih Huda dalam hati.

"Huda, sebenarnya ada sesuatu yang Rin ingin ceritakan. Huda, sebenarnya Jay,"

"Mama! Nak balik!" Si kecil itu berteriak, merengek meronta-ronta. Suaranya memenuhi segenap ruang di restoren itu. Jay mendukung dan memujuknya, memeluk anak itu dengan penuh kasih sayang, Huda memerhati dengan ekor mata. Masih tidak berubah lelaki ini, sifat penyayangnya, bertuah sungguh wanita yang hidup di sampingnya. Seribu tahun pun aku tidak akan dapat mengisi ruang kosong dihatiku ini yang aku berikan cuma untuk lelaki ini, suara Huda di hatinya.

Rin dan Jay sudah kaget. Mereka saling berpandangan. Itulah yang sememangnya menikam jiwa Huda. Nampak sungguh suasana bahagia suami isteri itu menguruskan anak mereka, suara hati Huda. Dia cemburu, tapi redho. Dia juga bersyukur sahabatnya itu kini hidup bahagia di samping Jay.

"Tak apa Rin, korang pujuklah anak korang dulu," kata Huda sambil meneguk coffee yang telah sampai di meja mereka, tersekat nafasnya melihat Jay yang dirindui ada di depan mata, di sebelahnya. Biarpun tidak bersuara, dapat dia merasakan dekatnya hati mereka, seperti bersatu menjadi sekelompok perasaan rindu yang sukar untuk difahami.

"Huda tunggu okay... ada hal Rin nak cerita" Sahut Rin sambil memeluk Ai-Ai yang meronta di hadapan mereka. Cawan yang berada di meja hampir terjatuh oleh tangannya yang dihentak-hentak ke meja mengajak mereka balik.

"Mama mana pistol mainan Ai tadi?" Jay bersuara. Suara yang cukup dirindui Huda itu, memangil Rin mama di hadapannya. Sakit hati huda, seperti luka di hatinya yang tertoreh tiga tahun yang lepas berdarah kembali, namun seperti biasa, dia cuma mampu mendoakan pasangan itu di dalam hati.

Rin meminta Huda menunggu sementara dia dan Jay membawa Ai-Ai ke kereta sebentar untuk mengambil pistol mainan yang dikira dapat menenangkan Ai-Ai. Agar mereka boleh bersembang dengan tenang, kalau tidak, habislah satu restoran itu 'hancur' dikerjakan Ai-Ai anak kecil yang terlalu bangat manjanya!

Sekembalinya mereka bertiga, ke dalam Restoran Kenanga, Huda sudah tiada. Si kecil Ai-Ai masih tidak kelihatan, sebenarnya dia sedang berada diluar, bersama Nazmi. Dipujuk-pujuk dengan main perang-perang oleh uncle Nazmi agar ketiga sahabat itu boleh berbincang dan berborak dengan tenang. Tapi Huda sudah tiada, di manakah Huda? Yang tinggal cuma Wice yang sedang makan dengan berseleranya.

"Mana Huda Wice?" tanya Rin, kehairanan, matanya mencari-cari kesegenap restoren itu. Begitu juga dengan Jay, dia sudah mula gelisah.

"Dia dah balik, agaknya kepenatan, atau pun tak sanggup melihat kebahagiaan korang berdua. Kau berdua ni pun satu, waktu macam ni pun nak bawa anak lagi, Korang sama-sama faham perasaan Huda pada Jay bukan, kenapa hendak menyeksa dia? Saja nak tunjuk kebahagiaan korang ke?" ujar Wice menyuarakan rasa kesalnya.

Rin mengeluh. "Laaa.... bukan ler Wice!... Iskkkkk! Huda ni, kan Rin dah suruh tunggu, biar Rin ceritakan segalanya!" sambung Rin dengan nada geram.

Ketika mengeluh itu, Nazmi dan Ai-Ai sudah datang kepada mereka, melihat wajah pucat Rin Nazmi memegang tangan isternya itu.

"Kenapa sayang?" tanya Nazmi.

"Tak, Huda la abang, belum sempat ayang cerita semua dia dah balik," suara Rin kesal kesedihan, sekali lagi mereka akan kehilangan Huda. Melihat Rin yang kesedihan Nazmi menarik Rin ke dalam dakapannya sambil dia mencium dahi isterinya itu menenangkan.

Wice yang menyaksikan perkara itu dengan mata terbeliak.

"Apa semua ini? Isteri Jay dipegang lelaki ni, herrr, Rin dipeluk, herrr? Apa yang terjadi sebenarnya? Jay suami siapa? Rin isteri siapa?!" Wice keliru, dia betul-betul tidak faham, seperti sebuah jalan cerita yang berbelit, dibuat oleh pengarang yang terlalu kreatif.

"Wice, itulah yang Rin nak terangkan. Rin nak perkenalkan, ini Nazmi, suami kesayangan Rin, dia lambat sampai tadi kerana hantar mak ke rumah kakak. Suami Rin tak sehensem Jay, tapi inilah buah hati belahan jiwa Rin sekarang." terang Rin luhur.

"Habis tu... ber papa- ber mama...?"

"Lah, budak Ai-Ai ni dah berumur empat tahun, Jay accident tiga tahun lepas kan? Hari yang sepatutnya kami berkahwin. Takkan anak kami boleh empat tahun!"

"Habis ini anak siapa?"

"Ini anak Ching la Ai, teman rapat Rin semasa di university. Ingat tak, ibu tunggal, adik kepada Jay?"

"Takdir tuhan, Jay yang sepatutnya mati malam tu, sebaliknya Ching pula yang meninggalkan kita. Sebelum meninggal Ching sempat berpesan supaya menjaga Ai-Ai dan mengambilnya menjadi anak angkat kami. Biar kami menjadi mama dan papanya."

"Aih? Boleh pula macam tu?" Wice semakin keliru.

"Ha ah la, Ching pesan agar jangan sesekali membiarkan Ai-Ai merasakan dirinya tidak berayah dan beribu. Kami diamanahkan untuk itu. Ini ha, cik abang Nazmi kesayangan saya ni la yang menyarankan, sejak budak ni sudah pandai bercakap, kami pun membiasakan diri dengan panggilan papa dan mama, agar anak ini tidak merasa kehilangan," terang Rin lagi.

Itulah perkara yang sebenarnya berlaku. Papa itu panggilan untuk Jay kerana tidak ingin Ai-Ai merasa kekurangan dalam hidupnya. Rin pula dipanggil mama, sebaliknya keduanya bingung bagaimana untuk memanggil antara satu sama lain. Kalau dipanggil nama tentu si Ai-Ai akan hairan. Kalau dipanggil abang, macam mana pula dengan suami Rin, maka idea untuk memanggil papa dan mama di hadapan anak kecil itu dicetuskan sendiri oleh Nazmi, seorang lelaki yang sporting dan memahami sekali.

"Aku dah faham sekarang! Jadi korang tak jadi kahwin?" teka Wice yang sudah mula faham. Rin mengangguk.

"Rin terbaca email Huda untuk Jay yang Huda tulis pada malam Jay kemalangan tu, besar sungguh pengorbanan Huda untuk Rin. Rin tidak sanggup untuk hidup bersama Jay, setiap kali melihat Jay, akan timbul Huda di situ. Rin memutuskan untuk tidak meneruskan perkahwinan kami. Sehinggalah Rin jumpa abang Nazmi, sekarang cinta Rin seratus peratus untuk dia!"

"Oh kenapa tak cerita dari awal," tempelak Wice. Jay tunduk membisu. Menyesali akan kedinginnya tadi, kalaulah dia mengambil peluang itu untuk menceritakan perkara yang sebenar lebih awal, mungkin dia tidak akan terlepas Huda.

"Nak ceritalah tadi, tapi Ai-Ai menangis, sekarang Huda pula hilang..." sahut Rin memberikan alasan.

"Erm, pengorbanan Huda memang besar... Dia sanggup pergi untuk kebahagiaan kami..."

"Itu belum dikira besar, kalau aku cerita ada lagi yang lebih besar, besar sebesar besarnya," kata Wice cuba membuka cerita.

"Apa tu Wice?", soal Rin.

"Malam tu, Jay nazak bukan?" Wice mula menyoal, Jay pula mula berminat dengan kata-kata Wice kerana cerita itu menyebut nama dan berkisar tentangnya.

"Ha-ah..." Rin mengangguk.

"Dia mengalami kerosakan hati yang teruk, hancur betul tak?"

"Yaaaa! Habis tu apa lagi?!" Rin mula hilang sabar dan teruja dengan penerangan Wice yang sepatah-sepatah itu namun tidak juga keluar isi ceritanya.

"Tahu tak siapa penderma hati yang menggantikan separuh hati Jay yang rosak teruk tu?"

Rin menggeleng, Jay pula menanti dengan tekun cerita yang seterusnya, pandangan mereka lekat dan terpacak ke muka Wice.

"Huda..." Sahut Wice. Pistol mainan milik Ai-Ai yang kini lena tidur di lengkung Nazmi terlepas dari genggaman Jay. Jay, sangat terkejut!

"Ya Allah.." Itu saja yang mampu terkeluar dari mulut Rin ketika mendengar penerangan itu. Dia mengucap panjang. Patutlah selepas malam itu, Huda hilang entah ke mana. Tidak juga turun ke pejabat. Lesap bangai angin. Rupanya dia tekad untuk memberikan sesuatu yang paling besar miliknya buat lelaki yang disangkanya akan menjadi suami Rin. Memberikan hatinya!

Jay kaku, kehilangan diri. Dia meraba dadanya, masih terasa parut pembedahan tiga tahun yang lepas. Di dalam kulit yang tercalar ini, rupanya ada sekeping hati milik Huda. Patutlah tidak pernah seharipun wanita itu hilang dari ingatannya. Patutlah Huda sentiasa ada dijiwanya, rupa-rupanya Huda telah melekat dihatinya, mengalir melalui urat darahnya, sebati membelai jiwanya.

Dia meraba dadanya lagi, terasa sakit dan sesak nafasnya. Mungkinkah itu yang dirasai pemilik hati yang sama itu sekarang? Adakah Huda terluka akibat salah fahamnya terhadap hubunganya dengan Rin dan Ai-Ai kesayangannya? Adakah hati Huda sekarang merasa berdenyut sakit dan sepi seperti hatinya?

"Huda tinggal dimana?" soal Jay kelam kabut. Ingin rasanya sekarang juga dia mengejar dan mendapatkan Huda, tapi dia tidak tahu harus bagaimana.

"Tak tahu lah papa, Rin belum sempat tanya..." ujar Rin bingung.

"Nombor telefonnya Rin?"

"Dia telefon Rin guna telefon pejabat. Lepas tu janji jumpa kat sini..."

"Wice?!!" tanya Jay. Wice menggeleng dan mengangkat bahu tanda tiada...

"Jay! Jay!" Teriak Rin dan Wice sewaktu melihat Jay berlari keluar dari restoren. Jay sebenarnya mencari Huda.

Huda, di manakah Huda. Hujan diluar masih merenyai, Jay berlari, mencari ke segenap ruang. Basah, basah sudah hati mereka, sebasah Jay yang tunduk hampa, dibasahi hujan. Pandangan yang kosong dan sepi. Hatinya terasa sebak dan sakit, mungkin begitulah perasaan pemilik sekeping lagi hati ini. Huda, mungkinkah selama tiga tahun itu, ketika dia diburu rindu kepada Huda, sebenarnya di sana hati Huda begitu juga?

'Huda...' suara Jay yang kebasahan di tengah renyai hujan sambil meletakkan tangan erat memeluk dadanya sendiri, meraba tempat bersatunya hati Jay dan Huda.



No comments:

Post a Comment